Nombor telefon pengguna Twitter disekat selepas sindir PM

0
205

DUA nombor telefon milik seorang pengguna Twitter didakwa disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), lebih sebulan selepas dipanggil polis berhubung kiriman Twitter menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Salim Iskandar menyedari nombor telefon miliknya disekat sejak semalam.

“Saya tidak boleh membuat atau menerima panggilan dan hanya menggunakan Wi-Fi untuk berkomunikasi.

“Salah satu nombor itu ialah pakej keluarga yang mana empat lagi nombor milik ahli keluarga saya turut disekat,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, pihak telco iaitu Celcom dan Maxis memberitahu bahawa mereka menerima arahan sekatan daripada SKMM.

“Operator telco, Celcom dan Maxis kedua-duanya memaklumkan nombor telefon saya disekat kerana kes penipuan (fraud). 

“Walhal saya sudah guna nombor-nombor itu lebih 10 tahun,” katanya. 

Kedua-dua hantaran menyindir kedudukan Anwar dalam poster kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diletakkan di belakang calon yang bertanding.

Sebelum ini, Salim dipanggil memberi keterangan sebanyak dua kali dalam tempoh kurang dua bulan.

Polis juga  pernah merampas telefonnya sebanyak dua kali.

Sebelum ini juga, SKMM gagal meminta Twitter untuk menurunkan beberapa ciapan oleh Salim.

Perkhidmatan rangkaian media sosial yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu menolak permintaan SKMM untuk menurunkan empat ciapan oleh Salim, yang kerap menyiarkan tulisan mempersendakan kerajaan campuran pimpinan Anwar.

“Memandangkan Twitter sangat percaya dalam mempertahankan dan menghormati suara pengguna kami, adalah menjadi dasar kami untuk memberitahu pengguna jika kami menerima permintaan undang-undang daripada entiti yang diberi kuasa (seperti penguat kuasa undang-undang atau agensi kerajaan) untuk memadamkan kandungan daripada akaun mereka,” kata  Twitter dalam e-mel kepada Salim bagi memaklumkan permintaan SKMM kepadanya.

MalaysiaNow sudah menghubungi SKMM untuk mendapatkan penjelasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here