PRN: ‘Masa dia susah, saya yang bantu dia’ – Rafie terkilan dilabel sebagai pengkhianat

0
154

CALON Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Mohamad Rafie Ab Malek mengakui terkilan dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggelarnya ‘pengkhianat’ susulan tindakannya bertanding di kerusi berkenaan atas tiket Bebas.

Beliau yang juga penyandang kerusi itu berkata, selaku individu yang bertanggungjawab menubuhkan Parti Keadilan suatu ketika dahulu, beliau turut mempersoalkan tindakan pemimpin utama negara itu yang seolah-olah menidakkan haknya sebagai warganegara untuk bertanding pada pentas pilihan raya.

“Memang saya sedih, semasa dia susah saya bantu, (tetapi) sekarang dia senang.

“Maknanya dalam keadaan kehidupan saya selesa semasa itu, saya membantu dengan apa yang ada pada saya termasuk keseluruhan tenaga dan wang ringgit.

“Sebab itu, saya antara pengasas yang masih ada, ramai yang sudah tidak ada dan keluar parti pun.

“(Jadi) saya tak nak berbalah atau berhasrat ‘melondehkan’ (buka aib) dan kita lalui proses pilihan raya ini dengan beradab,” katanya dalam sidang media di sini.

Semalam, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), menegaskan parti akan menghukum ahli yang mengkhianati perjuangan parti menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

Katanya, perbuatan mereka yang terlibat itu tidak akan diampunkan selain mengaitkan tindakan pengkhianatan parti dengan sejarah budaya Melayu, Raja Mendeliar dan Si Kitol.

Beliau memberikan contoh dua kerusi iaitu DUN Ampangan dan Hulu Kelang yang masing-masing ditandingi Mohamad Rafie dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengulas lanjut, Mohamad Rafie yang juga penyandang DUN Ampangan berkata, beliau bagaimanapun tidak mahu berbalah dengan Anwar dan percaya rakyat bijak menilai berdasarkan rekodnya sebelum ini.

“Saya telah menghantar pesanan menerusi WhatsApp pagi tadi kepada Anwar dan menyatakan dengan pengisytiharan tersebut, beliau secara tidak langsung hendak memutuskan hubungan silaturahim bersama saya.

“Janganlah takut sangat dengan saya, berilah saya peluang (bertanding) sebagai warga negara, janganlah sampai label-melabel.

“Kita negara berdemokrasi, saya bukan lakukan apa-apa kesalahan,” tambahnya menurut Astro AWANI.

PRN Negeri Sembilan Sabtu ini menyaksikan DUN Ampangan antara kerusi panas selepas Mohamad Rafie selaku penyandangnya daripada PKR bertanding sebagai calon Bebas.

Beliau bakal menentang Ketua Wanita PKR Cabang Seremban Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dan Muhammad Ghazali Zainal Abidin mewakili Perikatan Nasional (PN).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here