Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lando 'terguris hati' bertanding RM80,000 lebur -

Lando ‘terguris hati’ bertanding RM80,000 lebur

PELAKON yang juga aktivis masyarakat, Lando Zawawi mendakwa terguris hati apabila parti disertai gagal melunaskan wang RM80,000 yang digunakan untuk berkempen sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Meluahkan kekecewaan, Lando berkata mungkin nilai itu tidak besar bagi sesetengah pihak tetapi cukup besar buat dirinya, apatah lagi terpaksa menggunakan wang pergerakan geng ‘Brotherhood’ yang ditubuhkan.

Serik dengan apa yang berlaku, Lando atau nama sebenarnya Azlan Sani Zawawi, 48, berkata dia lebih berhati-hati sekiranya mahu bertanding lagi.

“Saya kurang minat bertanding pada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sebab tidak boleh berada di Parlimen.

“Sebab itu, saya tidak ikut bertanding, tetapi saya akan pertimbangkan sekali lagi jika bertanding peringkat Parlimen. Namun, saya kena lebih berhati-hati sebab takut terkena lagi.

“Saya tahu ada calon membuat banyak pelaburan sehingga mencecah ratus ribu. Saya tidak banyak duit, jadi RM80,000 sudah cukup banyak.

“Saya ada menghantar surat kepada presiden parti, tetapi tidak diendahkan. Rupanya bukan saya sahaja terkena, ramai calon lain berdepan perkara sama,” dakwanya, lapor BH Online.

Bagaimanapun, Lando lega wang geng Brotherhood yang digunakan dapat dilunaskan semula dengan hasil kerja dilakukan sebagai duta produk, selain terbabit dengan penggambaran iklan dan penjualan kemeja serta pelekat.

Sekalipun wang berkenaan cukup digunakan pada PRU lima tahun lagi, Lando berkata, dia tidak mahu lagi memperjudikan wang Brotherhood.

“Wang ini boleh saya katakan adalah hasil yang saya kumpul sendiri. Adalah sedikit sumbangan keluarga dan rakan ketika belajar di Australia.

“Saya tidak boleh mengharapkan sumbangan geng Brotherhood kerana kebanyakan mereka B40.

“Saya sebenarnya tidak minat politik, tetapi saya sertai dengan harapan dapat masuk ke Parlimen untuk gubal akta,” katanya kepada BH Online.

Ujar Lando, selagi akta tidak digubal, selagi itulah masalah jalan raya tidak dapat diselesaikan.

“Saya fikir umur sudah 48 tahun, jadi saya hanya mahu cuba nasib masuk bertanding. Setidaknya sekali seumur hidup.

“Jika tak bertanding selepas ini pun tidak mengapa, asalkan ada calon yang betul-betul komited memperjuangkan keselamatan jalan raya.

“Kepada mana-mana ahli politik, jangan sembang nak jaga Malaysia jika ahli sendiri pun tak terjaga,” katanya.

Dalam PRU15, Lando bertanding di Parlimen Tanjung Karang atas tiket parti Pejuang, tetapi tewas kepada calon Perikatan Nasional, Datuk Dr Zulkapferi Hanafi.