Guan Eng dicabar umum Chow calon ketua menteri untuk penggal penuh

0
179

SEORANG bekas Adun DAP mencabar pengerusi parti itu Lim Guan Eng mengumumkan kesediaan memberi peluang Chow Kon Yeow menjadi ketua menteri Pulau Pinang bagi satu penggal penuh sekiranya PH dan BN mempertahankan negeri terbabit pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Satees Muniandy mendakwa dia bersama lima Adun DAP digugurkan sebagai calon PH pada PRN ini setelah mengambil pendirian menyokong Chow sebagai calon ketua menteri bagi penggal kedua.

“Saya telah mencabar Lim untuk menyatakan secara terbuka bahawa dia tidak akan memegang jawatan ketua menteri dan membiarkan Chow mentadbir bagi satu penggal penuh.

“Dia enggan berbuat demikian sehingga sekarang.

“Cuma orang di sekeliling yang berkata begitu (Chow akan jadi calon ketua menteri), tetapi bukan dia.

“Saya, bersama lima yang lain digugurkan (sebagai calon PH untuk PRN) kerana kami menyokong Chow untuk kekal sebagai ketua menteri,” katanya, lapor Malaysiakini.

Satees berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan parti memecatnya baru-baru ini.

Pada PRN Pulau Pinang 12 Ogos ini, Satees akan bertanding sebagai calon bebas di DUN Bagan Dalam – kerusi yang dimenanginya pada 2018 ketika mewakili DAP.

Pada 14 Julai lalu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata jawatankuasa pemilihan calon parti itu sebulat suara mengesahkan Chow sebagai calon untuk jawatan ketua menteri Pulau Pinang sekiranya gabungan PH dan BN membentuk kerajaan negeri semula.

Katanya, keputusan tersebut telah disampaikan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang telah meluluskan keputusan berkenaan selaku pengerusi PH.

Pengumuman itu sekali gus menghentikan spekulasi bahawa Chow akan diganti.

Chow, 64, ialah Adun selama empat penggal. Dia dilantik sebagai ketua menteri pada 2018 dan telah menyatakan hasrat untuk berkhidmat bagi penggal kedua.

‘Keputusan hanya sementara’

Namun, Satees berpendapat bahawa keputusan jawatankuasa pemilihan calon DAP hanya sementara.

“Tahun depan, DAP ada pemilihan parti.

“Sekiranya Chow ditukar sebagai pengerusi DAP Pulau Pinang, maka kemungkinan dia perlu letak jawatan sebagai ketua menteri dan akan diganti oleh orang lain.

“Apa sahaja boleh berlaku dalam pemilihan parti, tahun depan,” katanya.

Ketika ditanya Perlembagaan Pulau Pinang memperuntukkan Ketua Menteri hendaklah dilantik dalam kalangan individu yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan itu bagi dua penggal, Satees, berkata ia boleh dipinda.

Katanya, pindaan tersebut dapat dilakukan dengan sokongan 27 Adun di dewan undangan negeri.

“Jangan lupa 17 daripada jumlah 19 calon DAP di Pulau Pinang adalah orang Lim,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Ngeh Koo Ham mengumumkan pemecatan anggotanya kerana bertanding melawan calon daripada parti itu dalam PRN.

Mereka termasuk tiga anggota yang telah mengumumkan keluar parti selepas digugurkan daripada senarai calon parti berkenaan.

Selain, Satees yang gugur keahliannya secara automatik, ahli lain yang dipecat ialah P David Marshel, Chng Boon Lai dan B Gunalan.

Satees keluar DAP pada 28 Julai lalu.

Marshel pula adalah bekas ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai. Dia juga keluar DAP pada 28 Julai lalu dan berkata akan bertanding sebagai calon bebas di Perai, kerusi DUN yang disandang P Ramasamy yang digugurkan dalam PRN ini.

Chng pula keluar parti sehari lebih awal, iaitu pada 27 Julai, dan akan bertanding sebagai calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) di DUN Kuala Kubu Bharu di Selangor.

Sementara itu, Gunalan bertanding sebagai calon PN di DUN Pandamaran, juga di Selangor.

Pengganti saya lebih tua

Mengulas lanjut, Satees berkata DAP tak perlu memecatnya kerana dia sudah keluar parti pada 28 Julai lalu.

“Nampaknya, DAP mula bertukar daripada parti demokratik kepada ‘dinasti maharaja’

“Mereka kata gugur saya untuk meremajakan parti. Tujuh daripada kami menyatakan sokongan untuk ketua menteri Chow. Enam telah digugurkan dan saya yang paling muda di antara mereka, berumur 38 tahun.

“Yang menggantikan saya adalah lebih tua daripada saya, iaitu 45 tahun. Apakah rancangan peremajaan atau penggantian ini hanya cakap kosong,” katanya.

Sebelum ini, DAP menggugurkan enam penyandang kerusi DUN Pulau Pinang yang dilabel sebagai ‘orang ketua menteri’ termasuk timbalan ketua menteri II Pulau Pinang yang juga penyandang DUN Perai, P Ramasamy, dan Ketua Wanita DAP serta penyandang DUN Padang Lalang, Chong Eng.

Penyandang lain yang digugurkan termasuk ahli exco kerajaan negeri sementara, Yeoh Soon Hing dan Soon Lip Chee dan Adun Sungai Puyu Phee Boon Poh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here