Guna helikopter kerajaan jangan sampai ‘makan diri’, Bersih ingatkan PM

0
143

BERSIH memberi ingatan kemungkinan tindak balas terhadap respons Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab kritikan berkait penggunaan helikopter melawat penempatan Felda, walaupun atas pertimbangan pragmatik.

“Sikap ‘angkuh’ dan ‘bongkak’ seperti yang ditunjukkan oleh PM mungkin akan memakan diri sendiri kerana rakyat tidak akan bersetuju dengan salah guna jentera kerajaan untuk berkempen,” kata badan pemantau pilihan raya itu dalam kenyataan.

Awal hari ini, Anwar berkata, beliau berhak menggunakan kemudahan itu berikutan kedudukannya sebagai perdana menteri, sebagai menjawab kritikan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor yang mengatakan beliau boleh menggunakan kenderaan darat lain.

“Kerajaan punya (helikopter), bukan aku punya. Hang tak boleh pakai, perdana menteri boleh pakai,” katanya menurut Berita Harian ketika berucap pada majlis Segalanya Felda di Felda Teloi Timur semalam.

Bersih mengambil maklum rangka kerja melawat sebuah kawasan Felda di Kedah dan menggunakan helikopter kerajaan bagi tujuan tersebut.

“Untuk situasi sebegini, Bersih berpendapat penggunaan jentera kerajaan untuk aktiviti kempen munasabah atas pertimbangan pragmatik dan keselamatan jika ia berlaku selepas perjalanan tugas kerajaan.

“Namun, PM dan menteri-menteri wajib mengelakkan daripada mencampuradukkan tugasan kerajaan dan aktiviti kempen,” katanya.

Katanya, bagi perjalanan tambahan untuk berkempen selepas tugasan kerajaan, perdana menteri dan menteri juga perlu membayar secara “pro-rata kos berlebihan” seperti kos minyak helikopter atau kenderaan.

“Demi prinsip amanah, kos-kos ini hendaklah diisytiharkan secara terbuka untuk pemantauan orang awam.”

Bersih berkata, kerajaan persekutuan perlu segera berbincang bersama parti pembangkang menggubal undang-undang mengawal keputusan, tindakan, dan penggunaan sumber kerajaan dalam tempoh pilihan raya.

“Reformasi yang dilaungkan oleh Pakatan Harapan perlu dilaksanakan tanpa mungkir, dan tidak sekadar menanam tebu di bibir sebagai janji pilihan raya,” katanya menurut FMT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here