Sanusi dapat semula akses akaun TikTok

0
149

AKAUN TikTok milik menteri besar sementara Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kini boleh diakses semula selepas didakwa disekat sejak Sabtu lalu.

Memetik laporan MalaysiaKini, semakan mendapati kandungan akaun @sanusimdnor dapat diakses dengan muat naik video terbaru kira-kira sejam lalu.

Akaun tersebut diikuti lebih 400,000 pengguna media sosial itu dengan merekodkan 5.2 juta kesukaan. Manakala video paling tinggi ditonton mencapai 1.2 juta kali tontonan.

Terdahulu media melaporkan Sanusi mendakwa akaun Tiktok miliknya disekat oleh pihak kerajaan dan menyifatkan Malaysia sedang bergerak menjadi seperti negara Korea Utara di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, ia akan menyebabkan pihaknya sukar untuk menjawab mengenai isu-isu semasa dan serangan dilemparkan pihak lawan Perikatan Nasional (PN).

“Buka TikTok tengok dah tak ada. Kita baru tengah popular kan, tapi itulah medan kita nak jawab habislah. Kita tak boleh masuk televisyen depa tak bagi, tak boleh masuk radio.

“Kita pakai TikTok dengan Facebook saja. Facebook budak-budak tak tengok dah sekarang, mereka kata itu untuk orang tua,” katanya.

Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dalam reaksi segeranya menafikan sekatan itu dibuat oleh pihak kerajaan.

Tegasnya, kerajaan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menyekat akaun TikTok.

Sementara itu dalam hantaran di Facebook semalam, Sanusi mendakwa akaun TikTok rasminya disekat melibatkan pengguna dalam negara ini tetapi boleh diakses di luar negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here