Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
DUA lelaki warga negara asing ditahan selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan sehingga mengkelar leher seorang rakan senegaranya sehingga maut dalam kejadian di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, Johor Bahru malam tadi.
Penduduk setempat yang menyedari kejadian itu menghubungi Balai Polis Desa Cemerlang pada pukul 11.15 malam berkenaan pergaduhan itu yang di sebuah bilik sewa bangunan kedai di taman tersebut.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihak polis menemui seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.
“Mangsa disahkan telah meninggal dunia. Bertindak atas maklumat pada 12.10 tengah malam tadi anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan Balai Polis Desa Cemerlang membuat dua tangkapan lelaki warga asing.
“Dua suspek berusia 39 dan 40 tahun itu ditahan sekitar kawasan bangunan kedai Taman Desa Cemerlang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
Pihaknya merampas tiga bilah pisau boleh laras yang terdapat kesan darah dan satu minuman keras selain menemukan 13 ‘swab’ kesan darah di tempat kejadian dan pada badan suspek.
Jelasnya, siasatan mendapati semua yang terlibat dalam pergaduhan itu bekerja di kedai dan kejadian berpunca daripada mangsa memprovokasi suspek dalam keadaan mabuk sehingga mengakibatkan pergaduhan.
Katanya, akibat pergaduhan itu mangsa telah meninggal dunia disyaki dikelar pada bahagian leher sebelah kanan sebelum mayat mangsa dirujuk ke Hospital Sultanah Ismail (HSI) Johor Bahru.
Menurutnya, kes tersebut berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.
Tambahnya, kedua-dua suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama enam hari bermula Ahad sehingga Sabtu ini. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.