Peniaga akui beras tempatan naik harga, stok sukar didapati

0
411

BELUM reda isu kenaikan harga barangan asas yang naik secara mendadak, kini rakyat ‘dihidangkan’ pula dengan kenaikan harga beras tempatan dan ketiadaan stok bekalan beras di sesetengah kedai runcit.

Tinjauan SatuBerita di sekitar kedai runcit di Gombak,Selangor mendapati rata-rata peniaga tidak menafikan kenaikan harga makanan ruji rakyat Malaysia itu.

Pemilik kedai runcit ZZ Trading, Zamzami Mohammad Noor,29 berkata kenaikan harga beras tempatan sememangnya berlaku sejak minggu lepas.

“Saya bagi contoh beras cap masjid. Sebelum ini harga RM26 untuk 10 kilogram.Selepas itu naik kepada RM28 dan terbaharu, iaitu minggu lepas, naik kepada RM29.50 sen.

“Harga 29.50 sen adalah harga terbaharu pemborong dan saya juga terpaksa menaikkan harga jualan iaitu RM31 untuk 10 kilogram.

“Jika saya tidak naikkan harga, macam mana pula saya nak dapat untung. Dalam tempoh sebulan, dua kali harga beras naik,” katanya.

Menurut Zamzani, bukan hanya beras 10 kilogram,harga beras tempatan lima kilogram juga naik mendadak.

“Beras tempatan cap masjid lima kilogram dahulu RM13, sekarang RM15.60 sen. Bahkan harga beras tempatan lain seperti jati tempatan juga naik sehingga RM34 berbanding RM30 untuk 10 kilogram.

“Saya juga pernah rugi dua minggu berturut-turut akibat tidak peka dengan kenaikan harga beras dengan menjual harga lama kepada pelanggan sedangkan ketika itu harga beras sudah naik,” katanya.

Bagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Irwandi, 41,kenaikan harga beras yang tidak menentu menyebabkan dia sukar untuk meletakkan harga runcit di kedainya.

Menurutnya, dia bimbang untuk meletakkan harga beras kerana berubah setiap masa dan mendapat aduan atau kecaman daripada pelanggan.

“Untuk mengelakkan pelanggan marah, saya lebih suka membiarkan pelanggan beli beras di kedai runcit lain kerana bimbang mereka akan berfikir saya sengaja menaikkan harga beras sesuka hati.

“Dahulu, harga beras tempatan jenama Nagasari RM26 untuk 10 kilogram. Kini sudah naik sehingga RM30 untuk berat yang sama.

“Kadang-kadang saya rasa bersalah terhadap pelanggan. Tetapi kalau saya tidak naikkan harga macam mana pula saya mahu dapat untung,” katanya.

Pengurus kedai runcit, Muhd Nor Farhan Izzudin,28 pula berkata, sejak beberapa minggu kebelakangan ini, stok beras di kedainya terutama beras tempatan agak sukar didapati.

“Biasanya beras tempatan akan menjadi pilihan kebanyakan pelanggan kerana harganya yang lebih murah.

“Antara jenama beras tempatan yang sering menjadi pilihan pelanggan seperti Jasmine, Faeza,Saga,Takraw, Sekinchan dan sebagainya.

“Dahulu pembekal akan hantar beras setiap minggu dengan kuantiti yang banyak. Kini, sudah dua minggu,beras masih belum ada stok dan pembekal akan hantar dengan kuantiti yang sedikit,” katanya-SB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here