5 anggota polis direman bantu siasatan kes rasuah SPRM

0
215

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SERAMAI lima anggota polis masing-masing berpangkat Sarjan, Koperal dan Lans Koperal direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan bersabit dua kes rasuah.

Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab di Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang hari ini selepas dipohon pegawai penyiasat SPRM.

Dalam kes pertama, seramai empat anggota polis berpangkat Koperal dan Lans Koperal direman selama lima hari bermula hari ini kerana disyaki menerima dan meminta rasuah daripada seorang lelaki sebanyak RM1,000.

Menurut sumber, keempat-empat anggota polis itu yang terdiri daripada Koperal berusia 31 tahun serta tiga lagi berpangkat Lans Koperal berusia antara 26 hingga 33 tahun bertugas di Balai Polis Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan (SPS).

Jelas sumber itu, anggota polis berkenaan telah menahan seorang lelaki di sekitar kawasan parkir kereta Pangsapuri Sungai Bakap, 3 Julai lalu, kira-kira pukul 2 pagi.

Ujarnya, salah seorang anggota itu telah meminta wang rasuah berjumlah RM1,000 daripada seorang individu sebagai balasan untuk tidak diambil tindakan berhubung rekod kesalahan jenayah lampau beliau berkaitan ujian saringan air kencing melibatkan dadah.

“Anggota polis tersebut telah bersetuju untuk menerima wang rasuah itu semalam. Lanjutan aduan itu, satu Operasi Perangkap telah dijalankan oleh SPRM Pulau Pinang semalam,” katanya hari ini.

Sumber itu berkata, keempat-empat suspek ditahan kerana terlibat bersama serta hadir menerima wang perangkap dan berada di lokasi ketika wang perangkap ditemui.

Dalam kes berasingan, seorang anggota polis berpangkat Sarjan berusia 30 tahun turut direman selama empat hari bagi membantu siasatan membabitkan kes rasuah.

Sumber berkata, kira-kira pukul 4.30 petang pada 11 Julai lalu, seorang orang awam telah berjumpa dengan suspek yang merupakan Pegawai Penyiasat bagi kes melibatkan adiknya di Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

”Dalam bilik tersebut, suspek telah meminta wang rasuah sebanyak RM2,500 sebagai balasan untuk menyelesaikan kes ujian saringan air kencing adik kepada pengadu yang sedang disiasat oleh suspek,” katanya.

Tambahnya, suspek telah meminta wang rasuah tersebut diserahkan kepadanya kelmarin dan lanjutan aduan tersebut, satu operasi perangkap telah dilaksanakan semalam dan suspek telah ditahan bersama wang perangkap.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here