Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Dua individu rugi lebih RM680,000 terpedaya pelaburan tidak wujud -
DCP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof

Dua individu rugi lebih RM680,000 terpedaya pelaburan tidak wujud

SEORANG lelaki warga emas dan seorang wanita kerugian lebih RM680,000 selepas terpedaya dengan pelaburan saham tidak wujud yang menawarkan keuntungan dua hingga lima peratus sebulan oleh sebuah syarikat melalui laman sosial.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata pihaknya menerima laporan pada 2 Mac lepas daripada lelaki berusia 71 tahun itu yang mendakwa telah berurusan dengan pelaburan tersebut di Facebook dan WhatsApp dengan membuat bayaran ke dalam dua akaun bank sebanyak RM550,000.

“Mangsa kedua pula seorang wanita berusia 49 tahun yang membuat laporan polis pada 3 Mac memaklumkan telah berurusan dengan pelaburan sama melalui Instagram dan WhatsApp dan membuat bayaran di lima akaun bank dengan kerugian RM132,688,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan itu, polis menahan dua pemilik akaun pelaburan tersebut iaitu seorang lelaki dari Kuala Lumpur dan seorang wanita dari Sabah masing-masing berusia 44 tahun, pada 12 Mac lepas selain turut mengesan suspek lain yang terlibat.

Ahmad Dzaffir berkata setakat ini, sejumlah 25 kertas siasatan telah dibuka di seluruh Malaysia melibatkan modus operandi sama dengan jumlah kerugian RM4.2 juta.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan pelaburan yang menawarkan keuntungan tinggi atau tidak masuk akal selain menyemak pendaftaran syarikat terbabit dengan polis atau Bank Negara Malaysia.

“Sekiranya menyedari ditipu, segera hubungi hotline National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 bagi melaporkan kejadian,” katanya. –Bernama