TERDAPAT pihal-pihak tertentu mengaut keuntungan “atas angin” dengan mengenakan caj sehingga RM15 bagi setiap transaksi penukaran kredit RM200 program eBeliaRahmah kepada wang tunai.
Portal FMT melaporkan sejak bantuan berjumlah RM400 juta itu disalur Isnin lalu, platform Twitter dan Instagram penuh dengan iklan menawarkan khidmat pertukaran kredit untuk menarik perhatian dua juta penerima insentif berkenaan.
Bantuan disalurkan menerusi e-dompet, Touch ‘n Go (TNG), Boost dan Setel itu diberi kepada belia berusia 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) yang boleh menggunakannya sehingga 22 Ogos depan.
Beberapa penerima dihubungi FMT mengakui menukarnya untuk mendapat wang tunai segera selain mendakwa sukar menggunakannya kerana hanya boleh dibelanjakan di premis yang mendaftar akaun e-dompet mereka di atas nama syarikat.
Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau dikenali Danish mengakui menukar kredit eBeliaRahmah kepada tunai dan dikenakan caj RM5 oleh seorang pengguna media sosial, yang mempunyai akaun bank perniagaan dan menawarkan perkhidmatan itu.
“Saya banyak berbelanja di aplikasi lain seperti Shopee, selain itu saya juga gunanya bantuan itu untuk bayar tambang MRT…jadi tidak guna sangat tiga e-dompet berkenaan,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, seorang pelajar IPT hanya mahu dikenali Shah mendakwa diminta membayar RM15 untuk menukar kredit kepada wang tunai, namua dia menolaknya kerana bayaran itu terlalu tinggi.
“Mereka seolah-olah mengambil kesempatan, RM15 itu terlalu mahal sedangkan ada yang hanya kenakan bayaran RM1 hingga RM5,” katanya.
Margaret Mary yang berasal dari Sarawak berkata tidak banyak premis di negeri itu menerima bayaran untuk TNG, Boost dan Setel memandangkan kebanyakkannya menerima bayaran tunai atau aplikasi S Pay Global (Sarawak Pay).
Inisiatif eBeliaRahmah yang dikendalikan Kementerian Kewangan terbuka kepada golongan belia warganegara Malaysia yang mencapai umur 18 hingga 20 tahun pada 2023 iaitu mereka yang lahir pada 2003 hingga 2005 atau berstatus aktif sebagai pelajar sepenuh masa di IPT dalam negara.
Sementara itu, FMT telah menghubungi Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan untuk mendapatkan maklum balas.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.