PRN: UMNO Terengganu kitar semula calon tewas?

0
254

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

UMNO Terengganu dijangka akan menampilkan lebih ramai calon kitar semula dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Langkah itu dikatakan bertujuan bagi memastikan calon-calon yang ditampilkan itu mampu mencipta kemenangan kepada parti tersebut.

Difahamkan, antara calon kitar semula itu termasuklah individu pernah tewas bertanding merebut kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November tahun lalu.

Antara yang disebut-sebut ialah Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, Setiausaha UMNO negeri, Datuk Rozi Mamat, bekas Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Nawi Mohammad dan Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.

Ahmad yang merupakan bekas Menteri Besar Terengganu dikatakan kekal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.

Beliau yang tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) daripada parti Pas, Che Alias Hamid di Parlimen Kemaman dalam PRU15 lalu dikatakan berada dalam senarai teratas sebagai calon.

Sementara Rozi yang tewas kepada Datuk Rosol Wahid daripada PN-Bersatu dikatakan akan kekal mempertahankan kerusi DUN Telemong.

Deretan bendera parti politik berkibaran sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di sekitar Kampung Sungai Kertas, Batu Caves. GAMBAR: Warta Rakyat

Nawi pula yang tewas di kerusi Parlimen Besut kepada calon PN-Pas, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dikatakan kekal bertanding di DUN Hulu Besut.

Khairuddin pula yang tewas kepada calon PN-Pas Datuk Dr. Alias Razak di Parlimen Kuala Nerus dikaitkan bertanding di Bukit Tunggal.

Bagaimanpun Khairuddin telah menafikan perkara berkenaan yang tular menerusi media sosial Facebook (FB).

Beliau mendakwa berita yang tular mengatakan dirinya akan bertanding di kerusi DUN Bukit Tunggal sebagai palsu.

Malah, beliau turut kesal dengan penyebaran poster palsu yang mengaitkan dirinya sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi itu pada PRN Terengganu nanti.

Seorang lagi calon kitar semula yang disebut-sebut bertanding ialah Timbalan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.

Nik Dir yang pernah tewas di DUN Rhu Rendang kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan juga Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dikatakan akan beralih angin untuk bertanding di kerusi Pengkalan Berangan dalam PRN kali ini.

Kabinet
AHMAD SAID

Penulis perhatikan walaupun sehingga kini UMNO masih belum muktamadkan senarai nama-nama calonnya yang bakal bertanding dalam PRN kali ini, namun teka-teki serta desas-desus mengenai perkara itu sedang hangat diperbualkan termasuk di peringkat akar umbi parti.

Ini kerana, nama-nama yang disebut itu merupakan antara senarai yang telah dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti peringkat Pusat untuk dinilai sebelum ini.

Jika benar UMNO menampilkan lebih ramai calon kitar semula yang pernah tewas sama ada di kerusi DUN atau Parlimen, ia bakal memberi kelebihan besar kepada calon-calon PN diwakili parti Pas dan Bersatu.

Malah, penganalisis dan pemerhati politik di Terengganu juga menyifatkan tindakan itu akan merugikan parti tersebut.

Hal ini kerana pendekatan itu boleh membantutkan usaha peremajaan parti selain tidak memberi gambaran sebenar berhubung sokongan orang ramai terhadap parti berkenaan.

Maka itu, penulis percaya gelombang rakyat khususnya daripada pengundi remaja yang memilih PN akan terus menguasai PRN Terengganu kali ini dan gagal dihentikan.

Sepertimana pandangan Tan Sri Abdul Hadi sebelum ini, seluruh rakyat kini sedang melihat kewibawaan PN sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri walaupun berhadapan dengan kekangan kewangan.

Malah, Abdul Hadi turut berpendapat, prestasi dicapai oleh kerajaan Pas di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu sangat menarik walaupun dalam masalah kewangan yang dinafikan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here