KERAJAAN berkemungkinan akur dengan dua saman dikemukakan hakim bersara dan tanggungan mereka berhubung kekurangan dalam pencen yang dibayar, berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang memihak kepada penjawat awam bersara.
Menurut sumber, prinsip undang-undang dibangkitkan oleh panel lima hakim mahkamah tertinggi itu mungkin terpakai dalam kedua-dua saman itu.
“Tinggi kebarangkalian pihak peguam negara tidak mencabar saman yang kini belum selesai di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan itu,” kata sumber itu, yang enggan namanya disiarkan, lapor FMT.
Dalam keputusan itu, Hakim Besar Malaya Zabidin Diah berkata, pindaan kepada Seksyen 3(2) Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) yang diluluskan pada 2013 meletakkan bekas penjawat awam dalam ‘kedudukan yang kurang baik’ berhubung hak mereka dalam kenaikan pencen.
Menolak rayuan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kerajaan, panel hakim mengisytiharkan pindaan yang berkuat kuasa pada 1 Jan 2013 itu terbatal dan tidak sah kerana melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah Persekutuan kemudiannya memerintahkan Seksyen 3 Akta Pelarasan Pencen 1980 yang asal dikembalikan.
Pesara Aminah Ahmad dan 56 individu lain memulakan saman pada 2017 tetapi kalah di Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu.
Mengikut skim lama, pencen pesara kerajaan disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred itu.
Bagaimanapun, pada 2013, satu skim baharu diperkenalkan berdasarkan kenaikan tahunan pada kadar rata 2%.
Awal tahun ini, kerajaan menghadap Mahkamah Rayuan dalam usaha membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan seorang hakim bersara menuntut kekurangan dalam pembayaran pencen yang dibuat kepadanya antara 2015 dan 2022.
Ian Chin, yang memulakan saman itu di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Februari tahun lepas, memohon beberapa deklarasi, yang dibenarkan.
Pada 9 Disember 2022, Hakim Leonard David Shim mengisytiharkan Akta Saraan Hakim 2014 yang dipinda tidak sah dan tidak konsisten dengan Perkara 125(7) Perlembagaan.
Beliau memerintahkan agar Chin diberi pampasan RM301,768.60, iaitu jumlah yang kurang bagi pencen yang dibayar kepadanya antara Julai 2016 dan Februari 2022. Jumlah ini termasuk faedah 5%.
Sementara itu, kira-kira 30 hakim bersara dan lapan tanggungan memfailkan saman awal tahun lepas, terhadap perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Jemaah Menteri, JPA dan kerajaan kerana gagal memberikan pelarasan sewajarnya bagi pencen mereka.
Masalah timbul apabila kerajaan membuat semakan gaji pada 2015 untuk hakim, memberikan pencen yang lebih tinggi ditambah kenaikan tahunan 2% bagi mereka yang bersara selepas pindaan akta itu dibuat.
Bagaimanapun, mereka yang bersara sebelum 2015 terus menerima pencen berdasarkan gaji lama mereka dengan tambahan kenaikan tahunan 2%.
Plaintif mahukan deklarasi bahawa pindaan itu melanggar peruntukan perlembagaan bahawa saraan hakim dan terma jawatan lain, termasuk hak pencen, tidak boleh diubah kepada sesuatu yang merugikan mereka selepas pelantikan.
Kes itu kini sedang dibicarakan di hadapan Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.