Majoriti bukan Islam faham peraturan, isu dicipta bagi persepsi negatif – Pegawai MB Kelantan

0
222

MAJORITI bukan Islam termasuk mereka yang bekerja dan berniaga faham peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan.

Pegawai Khas Menteri Besar Kelantan, Lau Chin Chua, berkata ia termasuk isu membabitkan etika pakaian di tempat awam serta premis perniagaan.

“Bukan Islam di Kelantan sebenarnya faham setiap peraturan. Cuma yang jadi isu, mereka nak cipta persepsi negatif…itu sahaja.

“Dalam kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) tertakluk bawah peraturan dan undang-undang. Sudah dijelaskan pakaian untuk orang yang bekerja dalam premis perniagaan mesti sopan.

“Tetapi apabila pekerja itu berpakaian tak sopan, tidak menjadi kesalahan dia disaman (kompaun),” katanya, lapor FMT.

Beliau menjelaskan peraturan mengenai pakaian terpakai kepada semua termasuk Islam dan bukan Islam di negeri ditadbir PAS itu.

Media semalam melaporkan seorang peniaga wanita bukan Islam berusia 35 tahun dikompaun kerana “berpakaian tidak sopan”, ketika pegawai penguat kuasa MPKB melakukan pemeriksaan mengejut di premis miliknya, kelmarin.

Yang Dipertua MPKB, Rosnazli Amin, berkata wanita itu didapati berseluar pendek di tempat awam, sekali gus melakukan kesalahan mengikut Seksyen 34(2)(b) Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019, yang menyatakan pemilik perniagaan bukan Islam dan pekerja bukan Islam mereka perlu “berpakaian sopan”.

Mengulas lanjut, Lau berkata kompaun itu dikenakan kerana individu terbabit “berpakaian seolah-olah tidak berseluar”.

“Dia pakai seluar kecil sampai orang ingat dia tak pakai seluar, pakai baju sahaja. Kemudian dia tukar seluar, tunjuk gambar dia kena saman (jadi tular).

“Cuba tipu masa kena saman pakai seluar lain, lepas kena saman pakai seluar lain. MPKB sebelum nak saman dia tangkap gambar dulu,” katanya.

Katanya, isu itu tular selepas ia sengaja diperbesarkan pihak tertentu untuk memberi imej buruk kepada kerajaan PAS Kelantan bagi tujuan politik.

“Bukan Islam di Kelantan tidak ditekan atau ditindas, tidak sama dengan persepsi dicipta sesetengah pihak. Kami diberi kebebasan selagi tidak bertentangan undang-undang.

“Kalau mana-mana pihak tidak mendapat gambaran sebenar silalah datang ke Kelantan, lihatlah sendiri betapa harmoninya kehidupan bukan Islam di sini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here