Remaja dibelasah rakan akibat kata-kata kesat

SEORANG remaja cedera dibelasah rakan akibat mengeluarkan kata-kata kesat dalam kejadian di Jalan Langsat, Kluang, kira-kira 12 tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, mangsa berusia 18 tahun cedera di kepala dan tangan selepas diserkup dalam karung guni sebelum dipukul enam suspek berusia 15 hingga 18 tahun.

“Siasatan awal mendapati mangsa menjadi punca pergaduhan kerana mengeluarkan kata-kata kesat sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakan-rakannya.

“Mangsa mengenali beberapa suspek terlibat kerana merupakan rakan-rakannya di mana ketika itu mereka sedang makan di sebuah restoran dekat pusat bandar.

“Senjata yang digunakan dalam pergaduhan itu, iaitu kerusi plastik, selain iPhone 12 Pro Max dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua tangkapan tiada rekod jenayah lampau dan pemeriksaan urin menunjukkan mereka negatif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya memetik laporan Harian Metro.