Polis tahan lima sekeluarga, rampas dadah dan pistol

0
199

POLIS menahan lima sekeluarga termasuk seorang budak lelaki berusia 11 tahun dan remaja perempuan berusia 13 tahun selepas penemuan sepucuk pistol, 11 peluru serta 952 pil kuda bernilai RM10,472 di sebuah rumah di Kampung Takang, Tawang, Bachok pada 30 Mei lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, turut ditahan suspek utama yang juga bapa saudara kepada kanak-kanak tersebut iaitu seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun, isterinya warganegara Thailand (22 tahun) dan ibu wanita itu warganegara sama (53 tahun).

“Serbuan pada pukul 7 malam itu menemukan pistol jenis Steyr Mannlicher M004124 bersama kelopak dan peluru berukuran sembilan milimeter.

“Siasatan awal motif pemilikan senjata api dipercayai ada kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah dan menjadi keperluan jika berlaku pertikaian dalam kalangan mereka.

“Berdasarkan penemuan pistol itu, suspek berkemungkinan terlibat dengan rangkaian yang lebih besar seperti sindiket dan bukan sekadar pusher,” katanya dalam sidang akbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Katanya, siasatan lanjut bagaimanapun masih diteruskan dan ujian urin suspek utama didapati positif dadah.

Muhamad Zaki berkata, turut dirampas ialah sebotol kecil bertulis weapons oil medium, dua berus, barangan kemas bernilai RM4,300 dan sebuah kereta jenis Proton Wira bernilai RM6,500.

“Kesemua suspek dewasa ialah penganggur. Mereka direman bermula 31 Mei lalu sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1971.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here