YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kegusaran berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
Baginda khuatir ia menjadi polemik berlarutan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional serta kesejahteraan negara jika tidak diselesaikan segera.
Seri Paduka bertitah, polemik penggunaan kalimah Allah bukan perdebatan berhubung terminologi dan linguistik, sebaliknya berkait isu akidah umat Islam dengan sebarang kekeliruan akan hanya mengundang musibah.
“Kerajaan beta hendaklah mengharmonikan situasi semasa dan pada masa yang sama, meletakkan penggunaan kalimah Allah pada konteks yang betul dengan mengambil kira keselamatan negara, kemaslahatan ummah dan kedudukan beta serta Raja-Raja Melayu yang lain sebagai ketua agama Islam,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 di Istana Negara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, hari ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Seri Paduka bertitah, sebarang polemik yang berhubung kait dengan agama, jika gagal ditangani segera, adalah umpama sumbu yang akhirnya bakal menyalakan api permusuhan antara kaum.
Sehubungan itu, titah baginda, dalam berhadapan dengan isu sensitif sedemikian, semua pihak sewajarnya mengambil pendekatan yang bijak, tertib dan disulami dengan semangat toleransi yang tinggi.
Titah Seri Paduka, ia selaras dengan prinsip pertama Rukun Negara, iaitu ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’, yang antara lain menekankan bahawa konsep beragama adalah amat penting dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan ia tidak sewajarnya dijadikan asas kepada pertikaian dan perbalahan.
Al-Sultan Abdullah bertitah, ketinggian dan kesucian agama Islam telah sekian lama terpelihara dalam pembentukan negara Malaysia yang merdeka sehingga agama Islam akhirnya didaulatkan sebagai agama Persekutuan di bawah Fasal 1 Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
“Kedudukan agama Islam yang ditempatkan pada darjat yang amat tinggi dalam Perlembagaan Persekutuan, dicapai menerusi persefahaman dan persetujuan oleh semua pihak ketika negara memperoleh kemerdekaan,” titah Seri Paduka.
Baginda bertitah, perpaduan memerlukan resipi yang efektif dengan hati yang terbuka, jiwa yang luhur dan semangat kesetiaan kepada raja serta negara, selain tidak mempersoal, mencampuri dan memandang rendah urusan serta kepercayaan agama diamalkan bangsa lain.
“Demi perpaduan dan masa hadapan negara, sebarang polemik agama hendaklah diselesaikan segera.
“Semangat perpaduan perlu disemai serta dibentuk di rumah, dibaja, disiram dengan pendidikan serta nilai-nilai murni hidup bermasyarakat di bangku sekolah dan seterusnya diperkasa di institusi-institusi pengajian tinggi,” titah baginda lagi.
Pada 17 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan Jemaah Menteri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja. – BERNAMA