Pakaian tradisi Melayu: ‘DAP perlu minta maaf kepada MCA’ – Lian Ker

0
214

NAIB Presiden MCA Ti Lian Ker menggesa DAP memohon maaf kerana  pernah mengecam parti itu ketika mereka mengenakan pakaian istiadat Melayu pada masa lalu.

Gesaan itu susulan laporan bekas Pengerusi DAP, Lim Kit Siang akan menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri esok.

Gambar Lim mengenakan songkok ketika raptai acara turut disebarkan di media sosial. Ti turut memuat naik gambar itu dalam hantarannya di Facebook.

“Saya rasa bangga ‘Tan Sri Lim’ akhirnya memakai songkok sebagai pakaian protokol dan istiadat. Saya masih ingat lagi ADUN Triang (dari DAP) Leong Ngah Ngah telah enggan memakai pakaian seragam ADUN semasa istiadat dan songkok atas alasan larangan parti semasa Kit Siang jadi Setiausaha Agung.

“Secara terbuka saya ingin memohon pada DAP untuk memohon maaf pada MCA dan semua ahli MCA yang dipanggil sebagai ‘anjing UMNO’ dan pengkhianat kerana menerima adat resam dan pakaian seragam yang berlandaskan tradisi Melayu,” katanya, lapor Warta Rakyat.

Kit Siang akan menerima darjah kebesaran itu sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang ke-64.

Ahli politik berusia 82 tahun itu bakal menjadi pemimpin DAP pertama yang dianugerahkan gelaran Tan Sri.

 Ti berkata jika DAP boleh memohon maaf kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan UMNO sebelum ini, parti itu juga boleh berbuat demikian dengan MCA.

“Mengapa DAP tidak meminta maaf kepada MCA dan MIC yang menjadi sasaran serangan utama mereka kerana bekerjasama dengan UMNO demi mencari titik pertemuan masyarakat kita yang pelbagai. Semangat meminta maaf ini adalah cara terbaik ke arah penyatuan dan pengukuhan kerajaan perpaduan BN/PH ke arah pilihan raya negeri (PRN).

Over to you, Tan Sri Lim Kit Siang dan DAP,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here