Khidmat e-Taib beroperasi 24 jam sebelum hari Wukuf

0
138

TEMPOH perkhidmatan e-Taib, aplikasi terkini untuk jemaah haji bersoal jawab mengenai hukum-hakam dan perjalanan ibadat haji semasa di Tanah Suci akan dipanjangkan secara berperingkat.

Pengurus Bimbingan Makkah, Shahrin Awaludin berkata, pada masa ini e-Taib yang menyediakan perkhidmatan perbualan langsung (live chat) bersama guru-guru agama beroperasi mengikut waktu pejabat.

Beliau memberitahu, waktu pejabat di Makkah mulai 7 pagi hingga 12 tengah hari, kemudian 4.30 petang hingga 6.30 petang dan 8 malam hingga 10 malam.

“Soalan yang ditanya selepas waktu pejabat pula akan dijawab oleh guru-guru agama pada keesokan harinya,” katanya kepada media Malaysia di Hotel Abraj Al Janadriyah di Makkah semalam.

Shahrin berkata, tempoh perkhidmatan e-Taib kemudiannya akan ditingkatkan kepada 18 jam bermula minggu hadapan dan seterusnya beroperasi 24 jam dua minggu sebelum hari Wukuf.

“Setakat ini kita sudah terima 1,300 soalan yang berkisar mengenai larangan ihram, fiqh wanita, dam (denda) dan juga soalan yang berulang.

“Terdapat juga soalan yang lain daripada ibadah haji seperti berkaitan ibadat harian jemaah haji dan ia akan turut dijawab,” katanya.

Shahrin bersama guru agama menyelia soalan yang diajukan jemaah haji. Shahrin bersama guru agama menyelia soalan yang diajukan jemaah haji.

Shahrin berkata, terdapat juga soalan diajukan yang menunjukkan jemaah haji ingin dapatkan pengesahan berhubung sesuatu kemusykilan.

“Kadang-kadang soalan itu menunjukkan jemaah haji ini tahu, yang mana mereka sudah dapat pengetahuan daripada kursus haji sebelum ini, cumanya mereka inginkan pengesahan,” katanya.

Kata beliau, TH menyediakan empat guru-guru agama untuk menjawab soalan dikemukakan jemaah haji dan tiga pakar rujuk untuk soalan yang sukar.

“Setakat ini semua soalan boleh dijawab oleh guru-guru agama kita dan semua soalan-soalan serta jawapan itu akan dibukukan dan dimasukkan dalam portal e-Bimbingan untuk kemudahan jemaah haji pada masa depan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here