Menu Rahmah berjaya kurangkan inflasi harga makan di luar-Salahuddin

0
210

INISIATIF Menu Rahmah berjaya menyumbang kepada pengurangan kadar inflasi harga makanan di luar rumah (makan di kedai) buat pertama kali sejak Ogos 2021, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata kadar inflasi makanan di luar rumah menurun daripada 9.6 peratus kepada 9.3 peratus sejak inisiatif yang dipelopori pengusaha makanan secara sukarela itu diperkenalkan pada Januari lepas.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata inisiatif itu juga didapati secara purata berupaya meningkatkan jualan syarikat yang menyertainya sebanyak 25 hingga 30 peratus.

“Sebab itu mereka (syarikat) telah menamakan inisiatif Menu Rahmah ini sebagai crowd puller… Manfaat dari segi jumlah itu yang telah menjadi tarikan (bagi syarikat menyertai) dan ia memberikan keuntungan kepada syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Menu Rahmah KFC dan Pizza Hut di Restoran KFC dan Pizza Wangsa Maju, di sini hari ini.

Salahuddin berkata, KFC dan Pizza Hut yang dimiliki QSR Brands menjadi syarikat yang ke-3,000 menyertai inisiatif Menu Rahmah dan penyertaan kedua-dua syarikat terkemuka itu telah menoktahkan sebarang keraguan tentang keberkesanan Menu Rahmah.

“Ini membuktikan bahawa inisiatif ini sebenarnya dapat menakluk ataupun bertakhta di hati pemain-pemain industri yang merelakan sebahagian daripada keuntungan mereka dipulangkan kembali kepada rakyat,” katanya.

Melihat kepada kejayaan inisiatif Rahmah secara umumnya, Salahuddin hari ini turut mengumumkan sebuah konsortium yang melibatkan pemain industri akan ditubuhkan bagi menambah baik inisiatif Rahmah dan manfaatnya kepada rakyat.

“Beri masa tiga bulan untuk kita dapat melakukan satu hala tuju yang lebih rahmah yang akan lebih memberikan lebih banyak manfaat kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin turut memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga atau kekurangan bekalan gula pasir kasar dan halus sejak kerajaan membenarkan dua syarikat pengeluar gula memasarkan gula bertapis halus jernih.

Beliau berkata kedua-dua syarikat tersebut masih perlu memastikan sebanyak 42,000 tan metrik gula bertapis kasar dan halus berada di pasaran, selain memasarkan kedua-dua produk itu pada harga kawalan iaitu RM2.75 sekilogram bagi gula kasar dan RM2.85 sekilogram bagi gula halus.

“Rakyat tidak perlu bimbang, bekalan cukup dan harga tidak naik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here