Kes songlap RM24.8 juta: Polis ambil keterangan 9 kakitangan Kesedar

0
152

POLIS mengambil keterangan sembilan kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bagi membantu siasatan berhubung kes pecah amanah membabitkan nilai RM24.8 juta.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, identiti sembilan individu berkenaan dikatakan digunakan oleh penolong akauntan Kesedar untuk tujuan pecah amanah.

“Ya sudah tentu kita rekod keterangan semua, sebagai saksi dan keterangan untuk kes berkenaan.

“Setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan kita percaya jenayah ini dilakukan berseorangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan seorang lelaki ditahan atas dakwaan menggelapkan RM24.8 juta daripada Kesedar dengan menyalahgunakan pengenalan diri sembilan kakitangan lain untuk memindahkan wang berkenaan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penolong akauntan itu telah melakukan ‘perbuatan licik’ itu selama lapan tahun.

Pendedahan Timbalan Perdana Menteri itu susulan penahanan seorang penolong akauntan Kesedar selepas dipercayai pecah amanah berjumlah RM24.8 juta.

Sabtu lalu lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada pukul 12.21 tengah malam oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here