Badan pemantau antirasuah tuntut jawapan selepas kerajaan umum ambil alih BNS

0
156

TRANSPARENCY International (TI) Malaysia mahukan jawapan selepas Kementerian Kewangan menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) untuk mengambil alih Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), syarikat bertanggungjawab ke atas projek kontroversi kapal tempur pesisir (LCS).

Badan pemantau antirasuah itu berkata, ada beberapa isu tadbir urus dan ketelusan utama berkaitan projek itu yang belum terjawab.

Selain mempertikaikan rasional pemberian projek itu kepada BNS pada 2011 secara rundingan terus, Presiden TI Malaysia, Muhammad Mohan turut mempersoalkan sama ada amaran dibangkitkan ketika BNS mula menunjukkan ketidakupayaannya menyerahkan kapal itu mengikut bajet asal.

“Apakah tindakan yang diambil untuk menangani amaran ini? Siapa bertanggungjawab meluluskan perubahan spesifikasi reka bentuk LCS berbanding pilihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)?

“Adakah sogokan disyaki berlaku dalam cara rundingan kontrak dilakukan dan harga kontrak akhir ditentukan,” katanya dalam kenyataan, lapo FMT.

Projek LCS dianggap perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah Malaysia, dengan kos keseluruhan RM9 bilion, tetapi kontroversi tercetus susulan pendedahan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bahawa tiada sebuah pun daripada enam kapal disiapkan, selepas kerajaan membayar RM6.08 bilion kepada BNS.

Jumaat lalu, syarikat induk BNS, Boustead Holdings Berhad (BHB) berkata, keseluruhan kos projek itu disemak menjadi RM11.2 bilion.

Februari lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, kos projek LCS kekal sama, walaupun TLDM sedia menerima lima kapal berbanding enam kapal pada asalnya kerana harga pembinaan kapal meningkat akibat banyak variasi daripada pesanan asal dan inflasi.

Muhammad turut menggesa kerajaan menyahklasifikasi laporan siasatan perolehan dan kewangan yang dilakukan di bawah Ketua Audit Negara ketika itu, Tan Sri Ambrin Buang.

Beliau menegaskan kerajaan tidak seharusnya berselindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi atau menggunakan ‘keselamatan negara’ sebagai alasan tidak memberikan jawapan terhadap projek LCS yang ‘begitu teruk’.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berulang kali menyuarakan komitmen tegasnya memerangi rasuah dan menambah baik tadbir urus serta amalan integriti dalam sektor awam.

“Memastikan projek LCS tidak terbengkalai penting (dan) memastikan pihak bertanggungjawab terhadap projek bermasalah ini bertanggungjawab atas tindakan mereka adalah penting.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here