Mengapa prestasi sukan Kenya baik walaupun politik tidak stabil? soal PN

0
168

PERIKATAN Nasional (PN) hari ini menyanggah alasan diberikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh selepas kontinjen negara menunjukkan prestasi buruk dalam Sukan SEA baru-baru ini, mengatakan masih terdapat negara-negara yang tidak stabil politik tetapi berjaya dalam sukan.

Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dari PN mempersoalkan mengapa negara seperti Kenya, Cuba, dan Serbia yang mempunyai situasi politik lebih teruk berbanding Malaysia mampu meraih prestasi lebih baik dalam sukan.

“Saya merujuk kepada kenyataan menteri apabila menyebut bahawa ketidakstabilan antara punca kepada pencapaian Sukan SEA, saya rasa ramai yang kurang faham  dengan kenyataan ini.

“Kerana kalau kita melihat dengan menyebut beberapa negara, Kenya, Cuba, Serbia, politik mereka tidaklah stabil daripada kita, tetapi dari segi sukan mereka agak perform,” soal Fadhli yang juga merupakan ketua Pemuda PN.

Terdahulu Yeoh mempertahankan kenyataan yang dibuat sebelum ini bahawa ketidakstabilan politik Malaysia menjejaskan prestasi atlet negara pada Sukan SEA di Kemboja baru-baru ini.

Bercakap pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Yeoh bagaimanapun menegaskan situasi itu hanya salah satu faktor dan bukan segala punca yang menyumbang kepada prestasi suram itu.

Fadhli mencelah dengan mengatakan terdapat negara yang terlibat dengan perang tetapi masih berprestasi baik dalam sukan.

“Palestin yang negara berperang apabila pasukan bola sepak mereka ranking lebih tinggi daripada Malaysia. 

“Jadi soalannya, kalau menteri menyebut ketidakstabilan politik itu menyebabkan pencapaian dalam sukan itu terjejas, apakah yang dilakukan oleh menteri pada masa hadapan bagi memastikan bahawa apa jua yang berlaku dalam politik tidak menjejaskan sukan, kerana sukan ini milik semua,” soalnya.

Bagaimanapun, Yeoh yang juga ahli Parlimen Segambut berkata, negara yang disebut itu tidak bertanding di Sukan SEA.

“Dalam empat tahun lepas, kita telah bertukar tiga perdana menteri dan tiga menteri belia dan sukan.  

“Jadi ada pertukaran ahli lembaga, bajet dan juga fokus,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Fadhli.

“Sejak Mei 2013, menteri ketika itu ialah KJ (Khairy Jamaluddin) ada 61 bulan untuk buat persiapan.

“Julai 2018 Syed Saddiq Abdul Rahman mempunyai hanya 20 bulan untuk buat persiapan sebelum Langkah Sheraton berlaku.

“Kemudian Reezal Merican (Naina Merican), 18 bulan manakala Peja (Ahmad Faizal Azumu) ada 16 bulan.

“Kita kena perakui, selepas Langkah Sheraton, semua usaha bantu ekonomi, pendidikan, semuanya terganggu kerana ketidakstabilan politik.”

Pada masa sama, Yeoh turut menjelaskan bahawa Malaysia yang hanya mengambil bahagian 41% daripada keseluruhan acara yang dipertandingkan, berjaya mencapai sasaran membawa pulang 141 pingat secara keseluruhan.

Katanya, atlet negara membawa pulang 175 pingat secara keseluruhan, namun hanya gagal meraih sasaran 40 pingat emas apabila kekurangan 6 pingat itu.

“Temasya kali ini, Kemboja telah mengambil keputusan untuk tidak mempertandingkan beberapa acara yang dijangka memberi 18 pingat emas kepada Malaysia dan memperkenalkan sukan tradisi yang menyumbang 91 pingat emas kepada negara itu.

“Tuan rumah juga senaraikan atlet import dan ubah beberapa peraturan mengenai peringkat umur dan telah sempitkan peluang Malaysia capai sasaran pingat,” tambah Yeoh lapor Malaysianow.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here