Idea bina MRSM berbayar ditangguhkan – Asyraf Wajdi

SEBARANG pembinaan baharu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk idea penubuhan MRSM berbayar ditangguhkan, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Asyraf Wajdi Dusuki.

Sebaliknya, Mara sedang fokus menambah baik prasarana sekolah sedia ada memandangkan kebanyakannya sudah berusia puluhan tahun.

“Mereka (alumni MRSM) yang cadangkan (MRSM berbayar) dan kita di Mara akan sentiasa memperhalusi cuma buat masa ini kita menangguhkan pembangunan baharu MRSM.

“Kita fokus tambah baik prasarana di 55 MRSM sedia ada dan dua MRSM yang akan memulakan operasi hujung tahun ni,” katanya pada sidang media sempena Hari Mara dan jelajah pendidikan luar bandar, lapor FMT.

Asyraf menjelaskan idea penubuhan MRSM berbayar itu dicetuskan oleh Persatuan Bekas Pelajar MRSM (Ansara) sejak 2017, namun sehingga kini kerajaan masih belum membincangkan perkara itu secara serius.

Pada 22 Mac, Asyraf dalam hantaran di Facebook berkata, beliau menerima cadangan daripada pelbagai pihak agar diwujudkan MRSM berbayar khusus untuk kelompok elit.

Katanya, MRSM berbayar dizahirkan oleh kehendak alumni institusi pendidikan itu sendiri, yang mahukan model pengajian yang sama diberikan kepada anak-anak mereka.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, MRSM masih mengekalkan polisi 60% untuk B40 dan selebihnya anak-anak M40 dan T20.

“Kalau orang kata kenapa kita tak letak 100% … kita tak boleh lahirkan generasi yang terpisah dengan realiti. Realiti dunia luar bukan hanya B40 tetapi ada M40 dan T20,” tegasnya.

Katanya, Ansara kini menghimpunkan lebih 220,000 ahli yang majoriti mereka kini dalam kelompok M40 dan T20.

MRSM yang ditubuhkan sejak 1972 bertujuan melahirkan melahirkan generasi teknokrat, cendekiawan, dan profesional dalam pelbagai bidang.