Hafizah 30 juzuk al-Quran raih markah ACCA kedua tertinggi dunia

0
158

SEORANG penghafaz al-Quran atau ‘hafizah’ meraih pencapaian cemerlang apabila menduduki tempat kedua peringkat dunia dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) bagi sesi Mac lepas.

Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dungun, Safwa Zamri, 19, menerima Top ACCA Foundation in Accountancy (FIA) Prize bagi kertas ‘FA1-Rekod Transaksi Kewangan’ dengan memperoleh markah 98 peratus, sekali gus berada pada kedudukan pertama di Malaysia.

Safwa berkata beliau tidak mempunyai asas pengajian perakaunan kerana mengambil aliran sains tulen dan hafazan (agama) ketika belajar di Sekolah Menengah Imtiaz Besut.

“Saya memperoleh keputusan 12 A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berjaya hafaz 30 juzuk al-Quran ketika berada di tingkatan dua iaitu selepas dua tahun menghafaz al-Quran.

“Ketika mahu menyambung pelajaran ke UiTM, ibu bapa saya mencadangkan supaya saya pilih jurusan perakaunan kerana sesuai dengan kebolehan saya, selain memang minat matematik,” katanya.

“Empat adik-beradik saya lulusan perubatan dan kejuruteraan, jadi biar ada seorang dalam bidang perakaunan,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Pengkalan Kubur dekat sini.

Pelajar tajaan Yayasan Terengganu itu, berkata beliau bertekad memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan ACCA, walaupun baru enam bulan belajar tentang perakaunan.

“Ketika mula belajar akaun, saya sedikit buntu tapi saya atasinya dengan kerap membuat latihan dan ulang kaji hingga akhirnya timbul minat terhadap bidang itu,” katanya.

Safwa, yang merupakan anak kepada pasangan guru, Zamri Mohd Amin, 56, dan Rashidah Ab Rahman, 57, cemerlang sejak sekolah rendah lagi (Sekolah Kebangsaan Tembila) apabila sentiasa memperoleh tempat pertama di dalam kelas.

“Apabila hendak sesuatu benda (pelajaran), beliau akan berusaha bersungguh-sungguh dan sanggup berjaga malam seorang diri untuk mengulangkaji pelajaran bagi memastikan beliau dapat menguasai sesuatu subjek,” kata Zamri.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here