OLEH Zulkiflee Bakar
PENULIS sudah menjangkakan apabila tersebar sahaja berita dan gambar pertemuan antara Dr.Mahathir Mohamad dengan Abdul Hadi Awang pasti ia akan mencetuskan pelbagai spekulasi.
Bagi kelompok politik khususnya daripada Kerajaan Perpaduan yang didakwa mempunyai sokongan 148 Ahli Parlimen, pertemuan itu bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan dan memporak-perandakan negara.
Rupa-rupanya biarpun tidak mempunyai apa-apa kuasa, gerak geri Dr.Mahathir sentiasa menghantui ‘musuh politik’ beliau. Dan mereka bagaikan ‘cacing kepanasan’ apabila bekas Perdana Menteri itu bertemu dengan Hadi Awang.
Mungkin dari segi kekuatan politik, mereka tidak risaukan Dr.Mahathir memandangkan beliau tidak lagi mempunyai parti politik tetapi apabila Hadi bersedia bertemu dengan Dr.Mahathir bagi membincangkan soal orang Melayu, mulalah puak tersebut kelam-kabut.
Secara peribadi, penulis menganggap apa yang dibimbangkan oleh kelompok pro kerajaan ibarat ‘takut kepada bayang-bayang’ sendiri. Sepatutnya mereka yakin Kerajaan Perpaduan yang ada kini sudah cukup kuat dengan sokongan 148 ahli Parlimen.
Namun nampaknya, mereka sentiasa ‘tidur tidak lena’ dan sering ‘diganggu Mimi’ bahawa kerajaan sedia akan tumbang. Kadang kala ‘kasihan’ pula penulis tengok gelagat mereka termasuklah pemimpin kanan kerajaan yang tak terhenti-henti bercakap soal ada gerakan mahu menjatuhkan kerajaan.
Lanjutan itu bergemalah laungan bahawa kerajaan mahu dijatuhkan kerana ketegasan dalam memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Di mana-mana menghapuskan salah guna kuasa dan rasuah menjadi modal untuk diperkatakan, biarpun di dalam kerajaan sendiri ada individu ibarat ‘ayam jantan berkokok kuat ekor bergelumang dengan najis’.
Bagaimanapun penulis tidak hairan dengan kebimbangan yang wujud memandangkan mereka sendiri, biarpun nampak satu hati dalam kerajaan tetapi masih ada perasaan curiga mencurigai antara satu sama lain. Ia terbukti dalam beberapa isu termasuk soal pengampunan Najib Razak.
Bagi penulis sama ada PKR, Amanah atau DAP, mereka berhak menzahirkan pandangan mereka soal pengampunan tersebut memandangkan merekalah yang bertanggungjawab ‘menghantar’ Najib ke penjara.
Tindakan itu mendapat respons positif daripada penyokong tegar mereka tetapi apabila timbul isu pengampunan Najib, mereka mulai resah. Apatah lagi bantahan mereka mendapat tentangan daripada UMNO hinggakan Amanah terpaksa meminta maaf.
Namun begitu, ia tidak mampu menutupi fakta bahawa komponen PH sememangnya konsisten dalam pendirian politik mereka, yang tidak konsisten ialah UMNO – yang dianggap bersedia mengubah pendirian semata-mata mahu ‘menumpang kuasa’.
Tetapi itu soal mereka, jadi janganlah cuba mengalih isu dengan bimbang tidak tentu hala apabila Dr. Mahathir dan Hadi bertemu. Apa salahnya dua pemimpin Melayu bertemu? Apa salahnya kalau pemimpin Melayu mahu membuat Proklamasi Orang Melayu? Apa salahnya pemimpin Melayu mahu berbincang mengenai masa depan dan survival politik orang Melayu?
Adakah kerana dua pemimpin besar Melayu bertemu, ia sewenang-wenangnya boleh dirumuskan ada pakatan mahu menjatuhkan kerajaan? Teori politik daripada celah mana yang digunapakai? Penulis hairan apabila ada kelompok begitu sensitif bila ada apa-apa pertemuan melibatkan pemimpin atau parti Melayu, pelbagai tafsiran negatif diwujudkan.
Tidak cukup dengan itu, mereka mulalah membuat kenyataan songsang kononnya ada parti politik yang mahu menjadikan perkauman sebagai modal untuk menang pilihan raya. Kelompok yang membuat tanggapan ini sebenarnya tidak yakin bahawa kesepakatan politik yang mereka bentuk akan bertahan.
Kesepakatan dicapai bukanlah atas dasar keikhlasan untuk benar-benar bersatu tetapi atas dasar terpaksa demi untuk menjadi kerajaan semata-mata. Dan mereka pun mengetahui perbezaan ketara sesama mereka yang cuba ‘disembunyikan’ sebaik mungkin. Atas sebab itulah, bila mereka lihat musuh politik menyusun kekuatan atas nama orang Melayu, mereka sudah kelam kabut!
Bagaimanapun pada pandangan penulis, adalah wajar kelompok berkenaan tidak gelabah tidak tentu hala atau ‘takut bayang-bayang’ sendiri. Apa pemimpin Melayu lain mahu lakukan, biarkanlah..bukankah Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan sudah menyatakan, ‘’Kerajaan ini sukar ditumbangkan kerana ada sokongan majoriti dua pertiga.’’
Lagi pula bagi penulis, kerajaan tidak akan tumbang akibat faktor luaran tetapi dalaman! Riaknya sudah ada ibarat api dalam serkam menanti masa menghamburkan apinya.. apa maksudnya…kajilah sendiri?
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.