Kanak-kanak empat tahun maut didera

0
241

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dipercayai menjadi mangsa dera ibu kandung dan bapa tiri, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata kanak-kanak tersebut disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Wad Kecemasan, Hospital Sultanah Aminah di sini, kira-kira 8.20 pagi.

“Terdapat kecederaan di kepala mangsa, di belakang kedua-dua telinganya, perut dan kedua-dua kakinya.

“Susulan itu, sepasang suami isteri yang merupakan ibu kandung dan bapa tiri mangsa ditahan di rumah mereka di Jalan Aman, Skudai pada 1.30 tengah hari semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata pasangan suami isteri itu, masing-masing berusia 20-an juga mengaku terlibat dalam kes berkenaan.

Selain itu, Rahmat berkata lelaki terbabit yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mempunyai satu rekod jenayah lampau manakala wanita yang sedang mengandung dua bulan, juga mempunyai seorang anak lelaki berusia enam bulan.

Turut dirampas sebuah telefon dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mendera mangsa, katanya.

“Kedua-dua individu berkenaan telah direman dengan lelaki tersebut direman selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 5 Mei manakala wanita berkenaan direman dua hari sehingga esok,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Penganiayaan, Pengabaian, Pembuangan atau Pendedahan Kanak-kanak, yang boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pihaknya kini sedang mengesan saksi dan bukti lain bagi membantu siasatan, katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here