‘Hari ini hari aman’ – Sanusi

0
184

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Alor Setar hari ini berlangsung dengan baik.

“Hari ini hari aman,” katanya ringkas ketika disapa semasa menghadiri majlis rumah terbuka berkenaan di Hotel Raia lapor Warta Rakyat.

Muhammad Sanusi hadir ke rumah terbuka itu bagi mengiringi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang berangkat sama.

Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet dan kepimpinan lain.

Sebelum ini, Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani menjadi polemik antara kerajaan dan pembangkang apabila pertama kali dianjurkan di Kedah dan lima lagi negeri berbanding kelaziman di Seri Perdana, Putrajaya.

Semalam, Muhammad Sanusi mengesahkan akan hadir ke rumah terbuka tersebut setelah Sultan Kedah berkenan berangkat memenuhi undangan Kerajaan Persekutuan.

Rumah terbuka itu turut mendapat perhatian pemantau pilihan raya, Bersih yang meminta undang-undang penggunaan sumber kerajaan diperketat ekoran kontroversi penganjurannya yang didakwa berunsur politik.

Pengerusi Bersih, Thomas Fann dilaporkan berkata, penganjuran majlis rumah terbuka raya di enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi bukan satu kebetulan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here