Penculik wanita ejen jualan kosmetik dipenjara 56 bulan

0
141

SEORANG buruh dijatuhi hukuman penjara 56 bulan oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas atas pertuduhan menculik wanita ejen jualan kosmetik di Kampung Semat Jal, Tumpat, September tahun lalu.

Hakim, Badrul Munir Mohd Hamdy menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Hafizi Mohd Arifin, 27, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama Chek Norhafizzi Chek Nor, 31, yang sudah dituduh, dan seorang lagi yang masih bebas menculik Rosnazirah Mohd Nain, 37.

Kejadian itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat jam 5.10 petang pada 13 September tahun lalu.

Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan Akta 574 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falena Abu Bakar dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Hajarul Falena memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran kepada tertuduh.

Kes penculikan itu menggemparkan negara selain membabitkan keselamatan negara dan memberi kesan trauma kepada keluarga serta mangsa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 56 bulan daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 12 April.

Mengikut fakta kes, pada 13 September tahun lalu, pengadu iaitu Mohd Nain Awang, 71, membuat laporan polis mengatakan anak perempuannya, Rosnazirah diculik dua lelaki yang mencari mangsa di dalam rumah, manakala seorang lagi lelaki berada dalam kereta.

Ketika pengadu cuba menghalang, pengadu diacukan dengan senjata tajam oleh tertuduh namun diabaikan oleh pengadu. Kemudian, suspek yang bertopi cerah mengacukan pistol kepada pengadu.

Pengadu menjauhkan diri kerana berasa takut dan mengambil batu lalu membaling kepada kereta Toyota Vios itu. Mangsa kemudian berjaya di bawa lari oleh tertuduh dan dua suspek lain.

Susulan kejadian itu, beberapa siri tangkapan dibuat bagi mengesan kedudukan mangsa dan polis kemudian berjaya mengesan Toyota Vios di kawasan pangkalan haram Kuala Tat, Tumpat.

Unit forensik PDRM membuat siasatan terhadap kereta itu dan berjaya menimbulkan dua cap jari sempurna dan satu cap jari yang ditemui di cermin bahagian dalam kereta adalah milik tertuduh.

Memetik laporan BH Online, siasatan awal juga mendapati mangsa diculik kerana suaminya iaitu W Muhamad W Noor, 37, mempunyai hutang yang belum dibayar.

Pada 12 April lalu, tertuduh Mod Hafizi ditangkap di Terengganu dan diserahkan kepada IPD Tumpat untuk tindakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here