Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Peniaga dakwa ‘sengsara’ terlibat program Menu Rahmah, kerajaan dapat nama -

Peniaga dakwa ‘sengsara’ terlibat program Menu Rahmah, kerajaan dapat nama

PENIAGA makanan terlibat program Menu Rahmah membidas kerajaan kerana didakwa hanya mahu ‘popular’ tanpa mengambil kira keperitan peserta yang menjayakannya.

Mengakui program itu bersifat pilihan, seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Farawahida berkata, kerajaan seharusnya lebih cakna dengan menyelesaikan isu kenaikan bahan mentah.

Kata wanita berusia 38 tahun itu, ketiadaan inisiatif kerajaan menyebabkan ramai peniaga kecil seperti dirinya terjejas teruk dan tidak mungkin mampu bertahan lama.

“Tidak adil jika kerajaan dapat nama (popular) di atas usaha peniaga.

“Jika ada usaha kawal dan turun harga barang, mungkin semua pihak termasuk peniaga akan berpuas hati,” katanya lapor FMT.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menerusi jawapan bertulis di Parlimen pada 29 Mac lalu dipetik berkata, kerajaan tidak bercadang memberi insentif atau subsidi kepada 1,706 pengusaha terbabit program Menu Rahmah.

Bagaimanapun kementeriannya menyokong dari segi promosi melalui platform media dan portal Menu Rahmah bagi memastikan inisiatif yang diperkenalkan pada 31 Jan lalu berkenaan dapat diperluas.

Bagi seorang lagi peniaga dikenali Nurul Nashfisha, 18, dia menyifatkan pendirian kerajaan itu sebagai tidak adil.

“Sekarang ini kerajaan yang dapat nama, padahal kita sama-sama membantu kerana tahu ramai orang susah sekarang.

“Jangan hanya harapkan peniaga sahaja yang akhirnya menyebabkan program ini tidak kekal kerana harga barang semakin meningkat,” katanya yang berniaga bersama ibunya di kaki lima di Kelana Jaya.

Seorang peniaga Mirza Zakaria, 38, mendakwa ada rakannya hanya mendapat untung bersih RM50 sahaja menerusi program Menu Rahmah yang harus membuka mata kerajaan supaya tampil membantu peserta program itu.

“Bagi saya idea itu bagus tetapi tidak berbaloi buat peniaga.

“Jadi sekarang kerajaan kena pertimbang hendak teruskannya atau tidak selepas buat pendirian tidak akan berikan insentif kepada peniaga,” kata peniaga murtabak di pasar malam itu.