Malaysia tidak akan terjebak ‘perangkap hutang’ China

0
153

PELABURAN China di Malaysia melalui Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) tidak akan mengakibatkan negara termasuk dalam ‘perangkap hutang’ negara berkuasa besar itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebaliknya pembiayaan China dalam projek berskala besar seperti Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL), Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan Terminal Laut Dalam Pelabuhan Kuantan perlu dilihat sebagai kerjasama dua hala yang strategik.

“Ini merupakan pilihan kerajaan, jadi bila kita tandatangan satu satu perjanjian itu, komitmen kita, kena ambil tanggungjawab. Sudah tentu apabila kita mahu laksanakan satu-satu projek, dia sudah tentu ada kelebihan, jadi dia tak bolehlah dilihat bahawa ini seolah-olah satu ‘trap’ untuk kita, hutang kepada mana-mana pihak atau negara China,” katanya.

Loke ditemui pada majlis Ulang Tahun ke-10 Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Kuantan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan media Barat berkaitan amaran ‘perangkap hutang’ kepada negara membangunkan infrastruktur mereka melalui BRI yang dipromosi China sejak tahun 2008.

Sejak 2008 hingga 2021, sebanyak 22 negara membangun didakwa telah menjadi ‘mangsa’ negara China selepas gagal membayar komitmen hutang berjumlah AS$240 bilion untuk kerja pembangunan infrastruktur di negara terbabit.

“Kita memang mengambil pinjaman untuk melaksanakan projek, jadi apabila kita laksanakan projek, kita mesti maksimakan, optimumkan projek itu, umpamanya ECRL,” katanya lagi, lapor Astro Awani.

Projek ECRL membabitkan kos RM55 bilion dan pembinaannya dilakukan syarikat China Communications Construction Company (CCCC), sebuah syarikat milik kerajaan China yang sedang cuba melobi kontrak Landasan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura.

Pembinaan landasan ECRL sepanjang 688 kilometer itu dijangka siap dan boleh digunakan pada tahun 2027.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here