10 ditahan kes pukul lelaki hingga mati di pusat hiburan

0
186

POLIS menahan 10 lelaki termasuk dua warga asing ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang lelaki dalam pergaduhan di sebuah pusat hiburan dekat Kompleks Metro Pudu, Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku antara pukul 5 hingga 7 pagi, semalam.

Pihak polis katanya, menerima satu laporan mengenai kejadian seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun dipukul di Kompleks Metro Pudu pada pukul 12.30 tengah hari, semalam.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan dan disahkan meninggal dunia pada pukul 4.40 petang, hari yang sama.

“Susulan kejadian itu, satu operasi khas diadakan bermula pukul 10.30 malam tadi hingga pukul 12.15 tengah malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wang Maju bagi mengesan suspek.

“Hasil operasi, kita menahan lapan lelaki warga tempatan berusia di antara 20 tahun hingga 37 tahun serta dua lelaki warga negara asing berusia di antara 28 tahun hingga 43 tahun di sekitar ibu kota,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ashari berkata, siasatan lanjut mendapati pergaduhan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham yang berlaku di antara mangsa dan kumpulan suspek.

Katanya, semua suspek akan dikemukakan kepada mahkamah untuk proses reman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Polis ujar beliau, memberi amaran agar orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan menimbulkan provokasi berkait kejadian ini.

“Kita memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil membantu siasatan,” katanya, lapor Berita Harian.

Maklumat boleh disalurkan kepada IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here