Berdepan risiko diisytihar muflis, MP Kepong rayu bantuan

0
185

AHLI Parlimen Kepong, Lim Lip Eng hari ini melancarkan kempen mengumpul dana untuk membayar ganti rugi RM2.25 juta kepada firma e-dagang Monspace (M) Sdn. Bhd. dan pengasasnya Jessy Lai.

Tindakan itu selepas beliau tewas dalam saman fitnah semalam yang berisiko diisytiharkan muflis dan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen jika tidak dapat membayar denda itu tepat pada masanya.

Wakil rakyat DAP itu berkata, beliau perlu menyerahkan jumlah itu dalam tempoh tujuh hari sebaik menerima perintah mahkamah, yang dijangka dihantar kepadanya minggu depan.

Tidak seperti kes jenayah, beliau perlu membayar ganti rugi sebelum keputusan rayuannya diumumkan dalam saman fitnah sivil ini.

Pada sidang media di pusat khidmatnya di Kepong, hari ini, Lip Eng menjelaskan bahawa dirinya telah memberikan bantuan secara sukarela kepada ramai mangsa yang terjebak dengan skim ‘membuat duit’ di alam maya sejak beberapa tahun lalu.

Beliau terlibat dalam kes saman fitnah itu dengan Monspace dan Jessy Lai selepas membantu sekumpulan individu yang memohon bantuannya pada 2016.

“Ganti rugi sebanyak RM2.25 juta adalah jumlah yang tidak pernah diberikan sebelum ini, ramai peguam berpengalaman menganggapnya sukar dipercayai. Bagaimanapun, ini tidak akan menghalang saya daripada menegakkan keadilan.

“Saya sentiasa bertanggung jawab atas tindakan saya, tetapi jumlah itu terlalu tinggi dan amat sukar untuk mengumpul wang tunai RM2.25 juta dalam tempoh yang singkat.

“Jika saya gagal membayar tepat pada masanya, saya akan berdepan dengan risiko diisytiharkan muflis, dan saya tidak akan lagi dapat terus bersuara untuk rakyat dan negara di Parlimen.

“Saya benar-benar merayu semua rakyat Malaysia untuk bersama saya untuk menegakkan keadilan dan membantu saya mengumpul RM2.25 juta dalam tempoh tujuh hari ini,” katanya, lapor Malaysiakini.

Ketika ditanya tentang apa yang akan dilakukannya jika gagal mengumpul jumlah yang diperlukan itu, beliau berkata, mungkin terpaksa menjual rumah dan keretanya, tetapi ini juga akan mengambil masa untuk mendapatkan dana berkenaan.

Beliau berjanji bahawa sekiranya berjaya dalam rayuannya nanti dan dibenarkan mendapatkan semula wang ganti rugi tersebut, akan menderma kesemua wang berkenaan kepada pertubuhan amal dan badan pendidikan.

Pada 24 Mei 2017, Lip Eng membawa sekumpulan individu yang dikatakan pelabur MonSpace, ke pejabat Lai di Bukit Jalil. Suasana kemudiannya menjadi hangat ketika mereka berhadapan dengan pekerja Lai dan Monspace.

Lai dan MonSpace memfailkan saman terhadap Lip Eng pada Jun 2019, kerana mendakwa defendan itu mengeluarkan kenyataan fitnah yang diterbitkan dalam akhbar berbahasa Inggeris dan Cina bahawa mereka menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur.

Pada tahun yang sama, beberapa pengasas Monspace turut didakwa di mahkamah jenayah atas dakwaan menjalankan skim piramid dan aktiviti pengubahan wang haram.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Lip Eng membayar sejumlah RM2 juta sebagai ganti rugi dan RM250,000 sebagai kos kepada Monspace dan Lai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here