‘Habis rim kereta saya bengkok’- Sultan Johor

0
179

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SULTAN Johor berharap kerajaan Persekutuan dapat memberikan peruntukan untuk membaikan jalan yang rosak dan berlubang di Lebuhraya Pasir Gudang.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, begitu juga jalan Johor Bahru-Mersing yang mengalami isu sama dan berbahaya kepada pengguna.

“Saya berharap peruntukan bagi pembaikan jalan persekutuan iaitu Lebuhraya Pasir Gudang dan laluan Johor Bahru-Mersing yang kini keadaan berlubang dan membahayakan pengguna jalan raya.

“Habis rim kereta saya pun bengkok,” titah baginda sewaktu merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri, hari ini.

Sementara itu, baginda menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan yang meluluskan peruntukan dalam Belanjawan 2023 untuk menaik taraf Lebuhraya Utara-Selatan dari Yong Peng ke Senai kepada enam lorong.

Titah baginda lagi, kalau boleh proses naik taraf itu dilakukan dari Gemas, Segamat.

“Buat apa separuh jalan. Kerajaan Pusat juga akan sediakan lorong memotong di Lebuhraya Senai-Desaru dari Pasir Gudang ke Bandar Penawar yang merupakan satu-satunya lebuh raya di Malaysia yang hanya ada dua lorong dan dikenakan bayaran tol,” titah baginda.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 lalu, kerajaan Persekutuan bersetuju untuk melaksanakan beberapa projek naik taraf jalan raya persekutuan dan lebuh raya.

Antaranya projek naik taraf jaringan lebuh raya ke Pengerang dengan membina lorong memotong di Senai-Desaru Expressway, serta projek naik taraf Lebuhraya Utara Selatan laluan Yong Peng Utara ke Senai Utara – Fasa Satu kepada enam lorong dengan kos RM525 juta secara berfasa.

Dalam perkembangan lain, Sultan Ibrahim kecewa dengan tindakan segelintir Orang Asli meneroka hutan simpan kerajaan yang dijadikan ladang getah dan kelapa sawit secara besar-besaran.

Titah baginda, pencerobohan hutan adalah perbuatan yang menyalahi undang-undang dan Orang Asli juga tidak terkecuali.

“Saya percaya ada orang luar yang menjadi dalang dalam hal ini dan cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan hal Orang Asli sebagai alasan.

“Malah, ada juga yang cuba menuntut ‘kawasan rayau’ yang tidak masuk akal. Kalau hendak diikutkan, semua yang ada dalam dewan ini pun banyak tempat merayau.

“Suka saya ingatkan, walaupun kedudukan Orang Asli dilindungi oleh Perlembagaan, mereka juga wajib patuh kepada undang-undang yang ada. Pencerobohan hutan adalah salah, dan Orang Asli juga tidak terkecuali,” titah baginda.

Sultan Johor bertitah, sejak dahulu lagi, kerajaan sentiasa menjaga kebajikan Orang Asli di Johor dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan pemberian bantuan bagi menaik taraf kehidupan mereka.

Titah Baginda, kerajaan juga telah menyediakan kawasan penempatan Orang Asli yang lebih tersusun dengan kemudahan bekalan air dan elektrik, serta kemudahan awam yang lain untuk memberikan keselesaan kepada mereka.

“Kerajaan mesti tegas dalam tindakan yang diambil dan membuat pemantauan secara berterusan untuk menjaga khazanah hutan dan melindungi hidupan liar.

“Saya menggesa kepada kerajaan supaya meletakkan semua kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di bawah ‘sultanate land’ supaya tidak ada mana-mana pihak yang boleh berbuat sesuka hati.

“Jangan sampai ‘pisang berbuah dua kali’, mengulangi kesilapan dahulu seperti kes Orang Asli di Bekok,” titah baginda. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here