Saravanan akui ke India, tapi bukan ikut Mat Sabu cari telur

0
214

TIMBALAN Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan menafikan beliau sebahagian rombongan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ke India baru-baru ini untuk bertemu pembekal telur ayam.

Bagaimanapun Saravanan mengesahkan beliau berada dalam penerbangan yang sama ke India dengan Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu dan ia adalah hanya satu kebetulan sahaja.

“Ini (perjalanan) berlaku pada bulan Januari. Saya pergi ke India untuk upacara sembahyang dan kebetulan saya terserempak dengan menteri dan lelaki yang berkenaan,” kata Saravanan kepada Malaysiakini.

Beliau merujuk kepada gambar tular yang diterbitkan oleh sebuah blog dan telah diedarkan semula oleh portal MalaysiaNow Jumaat, lalu yang turut menunjukkan ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan.

Mengulas lanjut Saravanan berkata, mereka terpaksa berkongsi kenderaan sama kerana laluan pejalan kaki agak jauh.

“Mereka mempunyai kereta buggy yang terhad. Jadi di lapangan terbang (Chennai) selepas mendarat, kami semua perlu berkongsi kenderaan yang sama kerana laluan pejalan kaki agak jauh.

“Saya pergi (ke India) untuk ikuti upacara, saya tidak tahu mereka pergi untuk beberapa urusan rasmi. Ia hanya kebetulan, itu sahaja,” jelas bekas menteri itu ketika dihubungi hari ini.

Perjalanan Mohamad ke India mendapat perhatian berikutan dakwaan mengenai kontrak rundingan terus kerajaan kepada sebuah syarikat tunggal untuk bekalan telur dari negara itu.

Pada Sabtu, pemimpin Bersatu Azmin Ali mendakwa kerajaan persekutuan pimpinan Anwar Ibrahim telah menganugerahkan projek mengimport telur dari India kepada Deepak, seorang ahli perniagaan yang menjadi pengkritik terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

Ketika menyampaikan ucapan pada majlis ceramah Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur, bekas menteri kanan itu juga mendakwa kontrak berkenaan diberikan melalui rundingan terus, bertentangan dengan ikrar kerajaan baru untuk menamatkan amalan sedemikian bagi projek kerajaan

Azmin juga mendakwa telur yang diimport Deepak dari India diberi pengecualian oleh kerajaan daripada menjalani pemeriksaan keselamatan makanan.

Sebagai tindak balas, J&E Advance Tech Sdn Bhd, pengimport tunggal telur dari India hari ini menafikan kedua-dua dakwaan berhubung rundingan langsung dan pengecualian keselamatan makanan.

Sebaliknya, syarikat itu berkata ia telah meminta kebenaran daripada kerajaan untuk mengimport telur dari India bagi menangani kekurangan teruk dalam pasaran dan diberi kelulusan sementara berkuat kuasa sehingga Jun 2023.

Syarikat itu dalam kenyataannya tidak menyebut tentang hubungan Deepak yang dikatakan dan semakan dengan Suruhanjaya Syarikat mendapati nama saudagar permaidani itu tidak disenaraikan sebagai pemegang saham atau pengarah dalam firma itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here