Banjir: Lebih 38,000 orang masih berlindung di 126 PPS

0
233

SERAMAI 38,738 mangsa banjir masih berlindung di 126 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri yang terjejas setakat 8 pagi ini. 

Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir berkurangan daripada 39,677 pada 8 malam tadi kepada 38,587 pagi ini. 

Seramai 10,747 keluarga masih ditempatkan di 123 PPS yang beroperasi di empat daerah terjejas masing-masing 37,827 orang di Batu Pahat, diikuti di Muar (504 orang),  Segamat (193 orang) dan Tangkak 63 orang. 

Cuaca diramalkan cerah di kesemua 10 daerah pada pagi ini. 

Sementara itu, Di PAHANG Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir pagi ini berkurangan kepada 127 orang berbanding 145 orang pada malam tadi. 

Daripada jumlah itu, seramai 90 orang berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Leban Chondong manakala 37 orang lagi berlindung di PPS SK Kampung Aur, kedua-duanya di Rompin. 

Di MELAKA, Sekretariat JPBN memaklumkan mangsa banjir di Jasin kekal 24 orang dan kesemuanya ditempatkan di PPS di SK Parit Penghulu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here