Sultan Kedah puas hati pentadbiran bawah pimpinan Muhammad Sanusi

0
126

SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan rasa berpuas hati dengan pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang disifatkan baginda telah banyak memperolehi pencapaian membanggakan selama ini.

Titah baginda, antara pencapaian tersebut adalah kejayaan menarik masuk pelaburan tinggi ke Kedah dengan jumlah keseluruhan pada 2022 mencecah RM13.1 bilion.

Pelaburan masuk itu titah baginda tidak hanya meningkatkan hasil negeri malah turut menyediakan sebanyak 6,072 peluang pekerjaan.

“Ini satu bukti bahawa kerajaan negeri bersungguh-sungguh dalam menjalankan usaha meningkatkan taraf ekonomi negeri dan rakyat.

“Beta melihat usaha giat kerajaan negeri dalam melaksanakan transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan negeri adalah satu langkah tepat. Program transformasi digital kerajaan bakal menyokong kemasukan pelaburan melalui birokrasi yang cekap dan efisien.

“Birokrasi yang efisien ini secara tidak langsung telah menjadi sati insentif berbentuk bukan fiskal kepada pelabur ke Kedah. Selain menyokong kemasukan pelaburan, transformasi digital perkhidmatan kerajaan turut memberi manfaat kepada rakyat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sewaktu merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 2023, hari ini.

Sultan Sallehuddin dalam pada itu turut memuji keprihatinan Muhammad Sanusi serta kerajaan negeri dalam menyegerakan proses pemberi milikan tanah kepada rakyat yang memohon.

“Beta dimaklumkan sejak Mei 2020, sebanyak 2,705 permohonan mendapatkan hak milik tanah dan lesen pendudukan sementara berjaya diluluskan. Tindakan ini secara tidak langsung memberi nafas lega kepada rakyat yang menanti mendapatkan hak milik serta lesen pendudukan sementara bagi menduduki tanah secara sah.

“Usaha ini bukan saja menyelesaikan masalah rakyat malah membantu meningkatkan hasil negeri melalui bayaran premium dan pertambahan hasil kutipan cukai tanah berulang,” titah baginda.

Sementara itu baginda turut menzahirkan rasa sukacita melihat pentadbiran Menteri Besar yang cukup komited melaksanakan Agenda Pelan Pembangunan Kedah 2035 (Kedah2035) berterusan.

Baginda dalam pad aitu turut menyambut baik komitmen kerajaan negeri dalam melaksanakan projek impak tinggi di bawah Kedah2035 yang bakal merancakkan lagi landskap pembangunan dan ekonomi negeri.

“Atas segala pencapaian dan usaha disebutkan tadi, tahniah diucapkan kepada Menteri Besar dan seluruh jentera pentadbiran negeri,” titah baginda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here