Akibat banjir, 372 kawasan sekitar Batu Pahat alami gangguan bekalan air pula

0
419

KETIKA kebanyakan penempatan di Batu Pahat terjejas banjir, kini penduduk terpaksa berdepan pula gangguan bekalan air tidak terancang berikutan henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Yong Peng 2 serta LRA Yong Peng 3, semalam.

Ranhill SAJ dalam satu kenyataan melalui Facebook berkata, gangguan itu melibatkan sebanyak 372 kawasan di sekitar Batu Pahat.

Menurutnya, hujan berterusan telah menyebabkan berlaku gangguan bekalan elektrik (tripping) di Empangan Bekok, sekali gus mengakibatkan gangguan operasi kedua-dua LRA terbabit.

“Situasi banjir ketika ini dijangka menyebabkan sedikit kesulitan bagi pergerakan anggota. Atas faktor keselamatan dalam situasi semasa ini, bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) diperlukan untuk pergerakan ke lokasi.

“Segala makluman berkaitan insiden ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu, lapor Berita Harian.

Gangguan bekalan air tidak terancang itu membabitkan 33 kawasan di Jalan Parit Sulong-Simpang Lima; Simpang Lima-Bagan-Parit Sangit (32); Yong Peng (73); Tongkang Pecah-Jalan Parit Jalil (37); dan Tanjung Sembrong (26).

Seterusnya, Parit Sulong (22), Ayer Hitam (41), Sri Medan (66); Parit Yaani (35); Jalan Kluang-Ayer Hitam (empat) dan Pekan Semerah (tiga).

Kawasan yang terjejas meliputi Klinik Kesihatan Tongkang Pecah, Klinik Kesihatan Jalan Yong Peng dan kawasan perindustrian Tongkang Pecah.

Pengguna di kawasan yang terjejas disaran untuk terus mendapatkan maklumat rasmi berkaitan gangguan bekalan air melalui saluran rasmi aduan Ranhill SAJ menerusi talian mesra 1800887474, e-mel: [email protected] atau sms: AT [ ] RanhillSAJ [ ] Aduan dan hantar ke 63001.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Batu Pahat merupakan antara daerah paling ramai penduduk teruk terjejas banjir dengan sejumlah 14,030 orang daripada 4,084 keluarga ditempatkaan di PPS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here