Gaji penjawat awam tak akan dinaikkan, kata Anwar

0
210

KERAJAAN tidak mencadangkan kenaikan gaji penjawat awam dalam Belanjawan 2023 kerana ia boleh menyebabkan defisit tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata defisit tinggi boleh mengurangkan keyakinan pelabur terhadap negara kerana mereka tidak yakin ada tekad politik untuk mengurus negara dengan baik.

“Apa masalah kita (sekarang ialah), hutang RM1.5 trilion dan defisit (sekarang) 5.6 peratus dan kalau tambah gaji, defisit jadi 6.5 peratus. Tiada orang datang lagi melabur ke negara kerana dia tidak yakin ada kekuatan tekad politik untuk urus negara dengan baik,” kata beliau kepada media selepas menghadiri Forum Antarabangsa: Pendekatan MADANI Mendepani Cabaran Islamofobia, di sini hari ini

Anwar mengulas kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat yang berpandangan tiada sebarang komitmen diberikan kerajaan untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah dalam Belanjawan 2023.

Anwar meminta Cuepacs supaya bersabar kerana keutamaan kerajaan ketika ini adalah membantu rakyat yang lebih miskin.

“Jadi sabar sekejap, hasil banyak cuba dicurahkan. Apakah ia tidak penting untuk selamatkan miskin tegar yang lebih teruk daripada pekerja sedia ada.

“Saya ingin beritahu ia tidak mudah untuk pesawah padi, pekebun kecil, nelayan dan miskin tegar… dia nak hidup pun susah,” kata beliau.

Pada 24 Feb lepas, Anwar membentangkan Belanjawan 2023 dengan cadangan peruntukan RM388.1 bilion, melibatkan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM289.1 bilion dan RM99 bilion untuk pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Menerusi Belanjawan 2023 itu, kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM350 turut disalurkan kepada pesara kerajaan. 

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here