Banyak formula, tapi Rafizi guna juga program diusaha PN: Hamzah

0
156

WALAUPUN banyak mengemukakan pelbagai formula sebelum dan selepas menjadi kerajaan, Menteri Ekonomi kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), Rafizi Ramli, akhirnya menerima juga usaha dan program yang disusun PN sebelum ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, IPR yang dirasmikan Rafizi semalam telah diusahakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Saya melihat bahawa apabila kita bercakap tentang kos sara hidup ini banyak menteri buat bermacam-macam pengumuman. Semalam saya dengar ada seorang menteri dah merasmikan satu program IPR… inisiatif pendapatan rakyat.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana akhirnya seorang menteri yang sarat dengan bermacam-macam formula akhirnya menerima formula yang telah diusahakan oleh bekas menteri ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam prospek membasmi kemiskinan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut berkata demikian ketika membahas Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Hamzah berkata, PN telah berbincang mengenai kos sara hidup yang membebankan rakyat sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau menawarkan kerjasama untuk membantu kerajaan PH-BN dalam usaha menyelesaikan masalah kemiskinan serta kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat.

“Kami ni bersedia. Saya nak bagi tahu (Ahli Parlimen) Putrajaya (Datuk Dr. Radzi Jidin)… dia bincang pasal bab kemiskinan ini semasa beliau menjadi timbalan menteri, akhirnya menjadi menteri, boleh (bekerjasama).

“Bekas Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bos saya… macam-macam jawatan yang telah dipegangnya. Jadi (mari) kita bincang.

“Kita tahu sehebat mana formula yang dikatakan oleh Yang Berhormat Pandan (Rafizi) itu akhirnya terima juga apa yang telah pun kita (PN) kemukakan.

“Sebab ini (PN mengutamakan) kepentingan negara dan rakyat. Jangan nak angkuh sangatlah. Kami (PN) ni bersedia (memberi cadangan). Sebab itu cadangan-cadangan yang dibangkitkan oleh kami. Saya dapat macam-macam mesej daripada rakyat di bawah sana,” tegas beliau lagi.

Mengambil contoh Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) yang diperkenal kerajaan PN sebelum ini, Hamzah berkata, PN berpendapat keutamaan mesti diberikan kepada melaksanakan aktiviti yang boleh menjamin pertumbuhan ekonomi utama dalam negara.

“Bila kita tanya, ada menteri yang menjawab bahawa Wawasan Kemakmuran Bersama ini tidak mahu diguna pakai lagi, sedangkan sebenarnya apa yang kita (PN) lakukan adalah sesuatu untuk mencari pendapatan atau hasil daripada ekonomi baru.

“Aktiviti-aktiviti pertumbuhan ekonomi utama kita ini seharusnya kita berikan penekanan. Jadi potensi ekonomi, persisiran dan maritim juga boleh kita manfaatkan. Jadi dengan kawasan pesisiran pantai dan maritim Malaysia yang luas dan strategik, ianya sangat sesuai untuk kita bangunkan pusat ekonomi baru dalam negara.

“Jadi apa yang saya sebutkan ini contoh-contoh yang ada dalam wawasan tersebut. Kalau YAB Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh melihat kembali (wawasan itu) tak salah.

“Kita di sini tak apalah nak tukar nama wawasan itu. Itu tak jadi masalah kepada kita. Yang pentingnya untuk kepentingan bersama, untuk kepentingan negara dan rakyat,” katanya, lapor Agenda Daily.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here