Pengguna TikTok dakwa SPRM tawar RM10 juta ditahan

0
165

PENGGUNA TikTok, Mohamad Shafiq Abdul Halim yang mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan RM10 juta kepada Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, baru-baru ini, ditahan agensi itu semalam.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan itu dengan menyatakan Shafiq ditahan mengikut Akta SPRM 2009 kerana mengganggu siasatan.

“Dia datang ke pejabat setelah dapat arahan kita dan kemudian ditangkap di pejabat SPRM (Putrajaya) semalam, jam 3.30 petang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM.

Shafiq dalam kenyataan di Facebook, berkata dakwaan tawaran RM10 juta hanyalah berdasarkan khabar angin semasa di mahkamah, bahawa SPRM menawarkan RM10 juta kepada Wan Saiful untuk menukar kenyataan bagi menganiayai Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Wan Saiful tidak lagi menjadi ketua penerangan berkuat kuasa semalam selepas peletakan jawatannya diterima Muhyiddin selaku presiden Bersatu.

Dalam pada itu, Azam berkata secara peribadi dakwaan Shafiq itu tidak boleh dimaafkan kerana telah merosakkan reputasi SPRM.

“Kalau nak cakap secara jujurnya, mana saya nak ambik RM10 juta nak bagi kepada Wan Saiful.

“Benda (video) ini tidak boleh dipadamkan. Mana-mana dan rata-rata pun masih lagi mempercayai wujudnya perkara ini,” katanya lapor FMT.

Tambahnya, walaupun Shafiq telah memohon maaf semalam, beliau berasa tindakan itu seperti sengaja mahu dimainkan oleh pengguna TikTok itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here