Pengerusi IKIM, Prof Kamal Hassan meninggal dunia

0
198

PENGERUSI Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan, 80, meninggal dunia pukul 2.27 awal pagi tadi, akibat komplikasi berkaitan prosedur pembedahan, baru-baru ini.

Berita kematian Mohd Kamal disahkan keluarga dalam kenyataan yang dikongsi melalui WhatsApp, di Kuala Lumpur hari ini.

Solat jenazah akan diadakan di Surau Al-Mawaddah, Bandar Baru Bangi, Selangor dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi.

Sementara itu, IKIM dalam kenyataan di Facebook mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.

Menurut IKIM, Mohd Kamal yang dilantik sebagai Pengerusi IKIM pada 24 Feb 2022, ialah seorang tokoh pemikir Islam yang memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.

Beliau yang dilahirkan pada 26 Okt 1942 di Pasir Mas, Kelantan menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari Universiti Malaya pada 1965 sebelum menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah di Columbia University, New York pada 1975.

“Keilmuan serta ketokohan beliau diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa. Allahyarham pernah diamanahkan sebagai Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 1999 sehingga 2006,” menurut kenyataan itu.

Allahyarham juga berperanan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI), sebuah lembaga yang ditubuhkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here