Kritikan terhadap program PAS berbaur Islamofobia, bawa pedang kayu pun takut – Hadi

PRESIDEN PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang hairan apa yang ditakuti sangat masyarakat sehinggakan pemakaian kostum tentera Islam sambil membawa replika senjata, turut menjadi polemik, seolah-olah terikut dengan Islamofobia.

Malah, beliau menyifatkan pihak yang mengecam acara perarakan dalam program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 Jumaat lalu, cuba menggambarkan Islam itu sebagai agama yang menakutkan.

“Apa yang mereka takut sangat pada Islam ini. Seolah-seolah Islamofobia dengan pelbagai tuduhan, tohmahan, fitnah yang dilakukan.

“Orang Islam bawa pedang kayu pun takut, sedangkan musuh Islam guna senjata nuklear yang memusnahkan, yang diharamkan oleh Islam tak apa.

Hadi berkata, malang apabila ada pihak yang terpengaruh dengan naratif ketakutan yang dibawa oleh golongan tersebut.

“Kejayaan Islam bukan dengan senjata, tetapi adil, hikmah,” kata Hadi, lapor Agenda Daily.

Perarakan Himpit itu berlangsung Jumaat lepas di Setiu, Terengganu, pada permulaan perhimpunan Pemuda PAS selama dua hari.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata, perarakan seperti itu tidak wajar kerana ia akan memberi gambaran yang tidak baik kepada Islam serta negara.

Perarakan tersebut turut mendapat kritikan daripada Pakatan Harapan dan MCA.

Pemuda PAS Terengganu telah mempertahankan perarakan itu, dengan berkata ia sama seperti acara “cosplay” yang diadakan setiap tahun. Ia tidak sekali-kali bertujuan untuk menghasut keganasan, tegasnya.