Gesaan DAP bukti Muhyiddin dapat sokongan 115 ahli Dewan Rakyat – Dr Marzuki

GESAAN Ahli Parlimen Kampar dari DAP supaya Barisan Nasional (BN) mengambil tindakan terhadap semua 10 Ahli Dewan Rakyat BN yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri membuktikan memang benarlah pada 21 November 2022 bekas Perdana Menteri (PM) kelapan itu telah mendapat kepercayaan majoriti 115 Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai PM ke-10.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan, Datuk Dr. Marzuki Mohamad berkata, gesaan itu juga mencerminkan sikap parti DAP yang amat marah Muhyiddin sehinggakan sesiapa sahaja yang menyokong Pengerusi Perikatan Nasional itu mesti dihukum.

“Walaupun itu adalah hak mereka sebagai Ahli Dewan Rakyat di bawah Perkara 43 Perlembagaan Perseketuan.

“Perkara 49 Perlembagaan Persekutuan yang menghalang tindakan lompat parti dalam kalangan Ahli-Ahli Dewan Rakyat tidak menarik balik hak Ahli Dewan Rakyat untuk menyatakan kepercayaan kepada seorang Ahli Dewan Rakyat yang lain sebagai Perdana Menteri walaupun berlainan parti,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Kelmarin Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, menggesa, kepemimpinan BN menyiasat dan mengambil tindakan terhadap semua Ahli Parlimennya yang sebelum ini menandatangani Akuan Berkanun (SD) menyokong Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

Beliauyang juga Setiausaha Publisiti DAP Perak berkata, siasatan dan tindakan disiplin perlu dikenakan terhadap mereka yang terbabit, sekiranya BN mahu menjaga kestabilan kerajaan perpaduan dan mengelak insiden Langkah Sheraton berulang.

Berikut kenyataan penuh Dr. Marzuki.

Ahli Parlimen Kampar dari parti DAP menggesa supaya BN mengambil tindakan disiplin terhadap semua 10 Ahli Dewan Rakyat BN yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Saya tidak pasti samada Perlembagaan BN membenarkan tindakan disiplin diambil ke atas ahli-ahli parti komponen kerana setiap parti komponen mempunyai tatacara disiplin masing-masing. Sesiapa yang arif tentang Perlembagaan BN bolehlah beri komen.

Apapun gesaan Ahli Parlimen Kampar ini mencerminkan sikap parti DAP. Mereka nampaknya marah sungguh kepada Tan Sri Muhyiddin sehinggakan sesiapa sahaja yang menyokong Tan Sri Muhyiddin mesti dihukum walaupun itu adalah hak mereka sebagai Ahli Dewan Rakyat di bawah Perkara 43 Perlembagaan Perseketuan. Perkara 49 Perlembagaan Persekutuan yang menghalang tindakan lompat parti dalam kalangan Ahli-Ahli Dewan Rakyat tidak menarik balik hak Ahli Dewan Rakyat untuk menyatakan kepercayaan kepada seorang Ahli Dewan Rakyat yang lain sebagai Perdana Menteri walaupun berlainan parti.

Gesaan ini juga membuktikan benarlah bahawa Tan Sri Muhyiddin pada 21 November 2022 telah mendapat kepercayaan majoriti 115 Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. Tetapi kerana terdapat tekanan politik, 10 Ahli Dewan Rakyat BN (6 UMNO, 2 MCA, 1 MIC, 1 PBRS) terpaksa menarik balik sokongan mereka.

Persoalannya, adakah penarikan balik sokongan mereka itu secara suci hati atau under duress? Sekiranya under duress, apakah kesannya di sisi undang-undang dan Perlembagaan? Saya tak nak bawa ke situ kerana pelantikan Perdana Menteri oleh YDPA tidak boleh dicabar di mahkamah.

Mengapa DAP marah sangat sedangkan itu adalah urusan BN?

Mereka berdendam kerana jika Tan Sri Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri dengan sokongan 10 Ahli Dewan Rakyat BN ini, DAP tidak akan berpeluang berada di dalam kerajaan seperti hari ini.

Dengan tidak terlantiknya Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, maka kembalilah DAP menguasai kerajaan. Inilah masanya DAP menyerlahkan “politics of vangeance” mereka sepertimana gesaan Ahli Parlimen Kampar ini.

Tindakan Ahli-Ahli Parlimen BN yang mempertahankan dasar “NO DAP” sepertimana yang disuarakan oleh akar umbi parti mereka sendiri tiba-tiba menjadi satu kesalahan besar. DAP tidak peduli. Dendam mereka lebih besar daripada suara akar umbi parti orang lain.

Nampaknya dunia politik sudah terbalik. Ahli-ahli Parlimen BN berdepan dengan tindakan disiplin semata-mata kerana mempertahankan suara akar umbi parti mereka.

Saya tidak hairan dengan gesaan Ahli Parlimen Kampar ini kerana saya pernah bersama dengan mereka dahulu. Saya tahulah serba sedikit hati budi mereka.