Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pelajar hilang lepas daki bukit, polis temukan motosikal tidak berkunci -

Pelajar hilang lepas daki bukit, polis temukan motosikal tidak berkunci

SEORANG pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dilaporkan hilang selepas dipercayai mendaki bukit seorang diri di Pulau Mawar Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani berkata laporan mengenai kehilangan Muhamad Akmal Hakimi Ishak, 20, dibuat bapanya di Balai Polis Kluang awal pagi semalam, selepas pemuda itu tidak pulang ke rumahnya di Kluang sejak Rabu lepas.

Beliau berkata polis menerima laporan mengenai penemuan motosikal dipercayai milik mangsa dalam keadaan baik dan tidak berkunci di kawasan berhampiran Pulau Mawar kira-kira 11.30 pagi semalam.

“Berdasarkan penemuan itu, kita telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula pukul 5 petang semalam melibatkan 22 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing, Balai Bomba dan Penyelamat Endau serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mersing,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Abdul Razak berkata operasi peringkat awal melibatkan pencarian di kawasan hutan dan pesisiran pantai, bagaimanapun, operasi itu dihentikan pada 7 malam tadi atas faktor keselamatan berikutan keadaan gelap dan hujan.

Beliau berkata operasi disambung semula pada 8 pagi ini dengan pencarian di darat dan perairan di sekitar pulau itu.

— BERNAMA