Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
2 perompak bersenjata ditahan -

2 perompak bersenjata ditahan

POLIS menahan dua lelaki selepas terbabit melakukan rompakan bersenjata di sebuah kedai serbaneka di Bandar Chukai, di Kemaman, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan kira-kira 4 pagi dalam dua tangkapan berasingan.

“Kedua-dua suspek yang bekerja di sebuah kedai serbaneka itu ditahan di sebuah rumah dan bengkel, hasil maklumat orang awam.

“Sebelum kejadian, pemilik kedai serbaneka berusia 19 tahun berbual dengan dua rakannya sebelum dihampiri dua-dua suspek yang menunggang motosikal sekitar 1.45 pagi.

“Suspek memakai topi keledar dan kain penutup muka bertindak mengacukan senjata tajam kepada mangsa manakala seorang lagi suspek menggunakan senjata menyerupai pistol,” katanya pada sidang media di Kemaman, hari ini.

Hanyan berkata, ketika kejadian, suspek menggeledah kaunter premis sebelum melarikan wang tunai serta sebuah beg silang milik mangsa dan rakannya yang mengandungi wang tunai, tiga telefon bimbit dan barangan peribadi.

“Kejadian itu menyebabkan kesemua mangsa kerugian sekitar RM7,000. Polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya dua kes rompakan bersenjata secara berkumpulan di daerah ini yang berlaku sejak Oktober lalu,” katanya.

Katanya, hasil saringan air kencing mendapati kedua-kedua suspek positif dadah dan kedua-dua suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes rogol dan dadah.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.