Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Digantung tanpa dipanggil, diberi peluang bela diri, kata Maulizan -

Digantung tanpa dipanggil, diberi peluang bela diri, kata Maulizan

KETUA UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang mendedahkan, beliau tidak dipanggil lembaga displin atau diberi peluang membela diri berhubung tindakan penggantungan selama enam tahun yang dikenakan parti ke atasnya.

Katanya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, beliau reda dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Beliau reda walaupun mengakui sangat sayang parti tersebut yang banyak jasanya kepada agama, bangsa dan negara.

“Selama 42 tahun saya menjadi ahli dan saya bermula daripada peringkat cawangan dan bergiat dalam aktiviti kebajikan serta kemasyarakatan.

“Mungkin silap saya kerana kadang kala tidak sehaluan dengan Presiden. Tak apalah, mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” katanya menerusi muat naik dalam Facebook miliknya, hari ini, lapor Sinar Harian.

Beliau turut mendoakan agar UMNO pulih semula dengan pemimpin dan kepimpinan yang diterima bukan sahaja ahli parti tetapi pengundi serta rakyat.

Maulizan yang juga bekas Exco kerajaan Johor berdoa semoga UMNO dapat kembalikan semula roh perjuangan berlandaskan asas penubuhan parti iaitu untuk menjaga agama, membela bangsa seperti termaktub dalam perlembagaan dan memajukan negara berbilang kaum.

“Saya mohon maaf kepada semua yang mengenali saya baik dalam parti atau pun di luar sekiranya sepanjang khidmat saya sebagai pemimpin kerdil ini terdapat sebarang kesalahan dan kesilapan yang tak disengajakan mahupun kekurangan yang ada pada diri saya,” ujarnya.

Selain Maulizan, turut digantung selama enam tahun ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd. Salim Sharif.

Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut dipecat UMNO berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).