Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Ujian DNA tentukan identiti mayat wanita dalam semak -

Ujian DNA tentukan identiti mayat wanita dalam semak

IDENTITI mayat yang ditemukan di kawasan semak dekat Kampung Alor Gali di Marang minggu lalu akan disahkan melalui keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang akan diperoleh dalam masa terdekat.

Susulan penemuan mangsa, dua individu telah hadir membuat pengecaman ke atas mayat kira-kira pukul 6.30 petang di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, mereka telah mengenal pasti mayat sebagai seorang ahli keluarga berdasarkan tanda-tanda pada badan mayat dan juga barang-barang peribadi yang dikemukakan serta beberapa bukti bergambar.

“Namun identiti sebenar si mati hanya dapat disahkan setelah Pegawai Penyiasat Kes mendapat keputusan sampel DNA dari Jabatan Kimia Malaysia yang akan diterima dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sementara itu, Mohd. Zain berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang meminta supaya orang awam menjaga sensiviti ahli keluarga mangsa dan tidak membuat sebarang spekulasi liar berkaitan kes yang sedang disiasat.

Siasatan kes itu katanya, dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta terus menghubungi Bilik Gerakan IPD Marang di talian 09-6181451 atau hadir ke mana-mana balai polis berdekatan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

Sebelum ini media melaporkan mayat wanita tanpa identiti ditemukan dalam kawasan semak di Kampung Alor Gali di Marang, pada 19 Januari lalu.

Mayat tersebut ditemukan orang awam yang mencari daun palas di kawasan itu yang terletak kira-kira 30 meter dari jalan utama.