Petisyen pilihan raya perkara biasa, PN, PAS sedia hadapi: Tuan Ibrahim

0
195

SEKURANG-kurangnya empat bekas calon yang kehilangan kerusi Parlimen kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah memfailkan petisyen untuk mencabar keputusan pilihan raya itu.

Empat kawasan Parlimen itu ialah Gua Musang, Kelantan; serta Marang, Kemaman, dan Kuala Terengganu di Terengganu.

Di Gua Musang, calon PN daripada PAS, Mohd Azizi Abu Naim mengalahkan penyandang, Tengku Razaleigh Hamzah (BN-UMNO) dan dua calon lain, Asharun Uji (Pakatan Harapan); dan Datuk Dr. Samsu Adabi Mamat (GTA-Pejuang).

Manakala, di Parlimen Kuala Terengganu kekal dimenangi Datuk Amzad Hashim; Marang (Tan Sri Abdul Hadi Awang); dan Kemaman (Ustaz Che Alias Hamid).

Mengulas perkara itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PN mengambil maklum mengenai empat petisyen yang difailkan baru-baru ini.

“Ini adalah perkara biasa. Mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan PRU-15 akan cuba mencabar keputusan itu,” katanya menurut laporan NST hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, PAS menyerahkan kepada peguam parti untuk mengambil langkah seterusnya.

Dilaporkan semalam bahawa Barisan Nasional (BN) telah memfailkan tiga petisyen untuk mencabar keputusan PRU-15. Petisyen pilihan raya melibatkan tiga kerusi iaitu Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Petisyen itu dibuat berikutan dakwaan rasuah yang dilakukan PN membabitkan tiga kerusi itu ketika PRU-15.

Bekas anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah telah memfailkan petisyen mencabar keputusan PRU-15 bagi kerusi Parlimen itu pada 3 Januari lalu dengan dakwaan melibatkan politik wang.

Ketika PRU-15, Tengku Razaleigh, atau lebih dikenali sebagai Ku Li, gagal mempertahankan kerusi Gua Musang selepas 12 penggal, apabila tanpa disangka-sangka tewas kepada Mohd Azizi daripada Bersatu yang bertanding atas tiket PAS. Azizi menang dengan majoriti tipis iaitu 163 undi selepas memperoleh 21,826 undi manakala Tengku Razaleigh memperoleh 21,663 undi.

Difahamkan, satu lagi petisyen untuk mencabar keputusan PRU-15 yang dimenangi PN turut difailkan baru-baru ini. Petisyen itu melibatkan kerusi Parlimen Masjid Tanah yang dimenangi Naib Ketua Srikandi Bersatu Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

Beliau memperoleh 4,411 majoriti undi mengalahkan calon daripada BN, MUDA dan Pejuang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here