Bantuan banjir wajar disalurkan kepada kerajaan negeri – Ahmad Samsuri

KERAJAAN Negeri Terengganu berpandangan, bantuan segera banjir sebanyak RM50 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, perlu disalurkan kepada kerajaan negeri dan bukannya menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Terengganu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata sewajarnya bantuan berkenaan diberikan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan bersama agensi Kerajaan Persekutuan bagi melicinkan proses bantuan.

Beliau berkata, selain itu ia turut mewujudkan keharmonian sekali gus mampu mengelak kelemahan termasuk pertindihan kerana amalan kebiasaannya, diuruskan kerajaan negeri.

“Setakat semakan terakhir semalam, kerajaan negeri belum menerima apa-apa duit masuk untuk urusan itu (bantuan banjir RM50 juta Kerajaan Persekutuan) ke dalam akaun kerajaan negeri, sebaliknya duit bantuan itu sudah disalurkan kepada JPP.

“Kita faham untuk menguruskan mangsa banjir ini ada perkara yang memerlukan kerjasama antara agensi kerajaan pusat dan agensi kerajaan negeri, barulah keharmonian itu dapat diwujudkan dan juga penyaluran bantuan kepada mereka tidak bertindih.

“Dari segi kewajaran bantuan itu sebolehnya diberikan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan bersama agensi kerajaan pusat sebab pada kami amalan yang lepas dilaksanakan begitu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Pelumba, Barisan Penaja Pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) 2023 serta Meraikan Kejayaan Selaku Juara Jelajah Asia 2022 di dekat sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, Pengerusi Pembangunan Belia Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdulah dan Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood.

Ahmad Samsuri berkata, bagaimanapun fokus kerajaan negeri sekarang adalah untuk segera menyelesaikan masalah yang dihadapi mangsa banjir bagi memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan dengan baik dan selesa.

Ketika ditanya adakah disebabkan ideologi politik yang tidak sehaluan menyebabkan bantuan itu tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri, Ahmad Samsuri enggan mengulas perkara itu.

“Itu (ideologi berbeza) saya tidak tahu…itu pandangan mereka,” katanya katanya lapor BH.